BINTANG ternama Hollywood, Tom Hanks dan isterinya Rita Wilson disahkan positif jangkitan virus Koronavirus (Covid-19) hari ini.

Berita mengejutkan itu diberitahu sendiri oleh Hanks menerusi akaun media sosial Facebook dan Instagramnya kira-kira jam 10 pagi waktu Malaysia.

Kedua-dua pelakon itu dijangkiti virus berkenaan ketika berada di set penggambaran sebuah filem yang berkisar tentang kehidupan legenda rock ‘n roll, Elvis Presley di Australia.

Menurut Hanks, mereka mengalami simptom keletihan dan sakit badan selain selesema. Manakala isterinya turut mengalami gejala demam.

“Dalam keadaan semasa kini, kami menjalani ujian dan kemudian disahkan positif (Covid-19),” katanya dengan menyertakan gambar sarung tangan pembedahan di dalam tong sampah biobahaya menerusi Instagram dan Facebook.

Tambah Hanks, buat masa ini beliau dan isterinya itu kini menjalani pengasingan dan pemantauan kesihatan.

Iklan

“Kami akan memberitahu sebarang perkembangan,” katanya yang menjadi bintang Hollywood pertama yang mengumumkan secara terbuka dijangkiti virus itu.

Hanks dan Wilson membintangi filem biografi Elvis arahan Baz Luhrmann. Hanks melakonkan watak pengurus Elvis, Colonel Tom Parker

Iklan

Australia kini mencatat sekurang-kurangnya 127 kes positif jangkitan COVID-19 dengan tiga kematian.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Rabu turut mengisytiharkan COVID-19 sebagai satu pandemik global.