SETELAH berjaya memikat hati peminat dengan aksi comel dan penuh warna-warni dalam Trolls (2016), Ratu Poppy bersama sahabat baiknya, Branch kembali dengan Trolls World Tour.

Filem yang kali ini diarahkan Walt Dohrn sendiri dan masih mengekalkan Anna Kendrick dan Justin Timberlake selaku watak utama, di samping pelakon lain yang meminjamkan suara mereka untuk watak-watak sampingan seperti J Balvin, Rachel Bloom, Flula Borg, Kelly Clarkson, James Corden, Ozzy Osbourne, Anderson Paak, George Clinton dan Mary J. Blige.

Antara watak comel di dalam filem ini.

Perjalanan Trolls World Tour ini akan membawa penonton mengikuti kembara Poppy bersama Branch dalam cubaan untuk menyatukan Trolls daripada daerah berbeza yang mewakili beberapa genre lagu.

Segalanya bermula apabila Poppy menerima surat mengenai kehadiran satu kumpulan Troll dari daerah berbeza dan ayah Poppy menentang keras keputusan Poppy untuk menerima kehadiran kumpulan tersebut.

Tekad dengan keputusannya, Poppy akhirnya menyedari bahawa dia telah membuat kesilapan dan perlu menjadi seorang ketua yang baik serta berusaha untuk menyatukan semua Troll yang wujud.

Sebagai peminat filem Trolls yang pertama, penulis berasa begitu teruja untuk menyaksikan sekuel daripada DreamWorks Animation itu.

Poppy bersama Branch kembali bersatu menyelamatkan dunia Troll.

Apa yang menarik kali ini, Trolls World Tour digarap lebih warna-warni yang pastinya bukan hanya menarik perhatian kanak-kanak, tetapi juga golongan dewasa.

Di samping pelbagai genre lagu yang cukup ‘mesra pendengar’, peminat dunia k-pop pasti akan teruja dengan kemunculan kumpulan terkenal Korea Selatan, Red Velvet yang telah diadaptasi sebagai troll.

Perjalanan filem ini bagi penulis amat mudah difahami dan sedikit selitan plot twist pada hampir ke penghujung jalan cerita.

Memandangkan Trolls World Tour menggabungkan pelbagai jenis muzik, sekali gus memerlukan Poppy dan Branch bergerak ke setiap wilayah muzik, maka ada ketikanya penulis berasa sedikit meleret.

TROLLS WORLD TOUR
Poppy dan Branch sanggup melakukan apa sahaja bagi tujuan penyatuan.

Namun kelemahan itu tidaklah terlalu ketara dan filem ini masih seronok untuk ditonton. Lebih-lebih lagi dengan watak sebelum ini yang masih dikekal dan tentu sekali watak Tiny Diamond yang berbadan kecil tapi bersuara garau menjadi antara tarikan lain.

Malah gandingan mantap Anna Kendrick dan Justin Timberlake selaku Poppy serta Branch banyak membantu ‘mencantikkan’ lagi filem ini.

Cuma secara jujurnya, penulis merasakan seleksi lagu dalam filem pertama lebih menarik untuk didengar, tetapi usaha pihak produksi memasukkan beberapa buah lagu baharu juga perlu diberi pujian.

Secara keseluruhannya Trolls World Tour masih sebuah filem yang menarik untuk ditonton bersama seisi keluarga, terutamanya pada musim cuti persekolahan ini.

TROLLS WORLD TOUR
Kemunculan Ratu Barb mengundang huru-hara.

 

INFO FILEM : 

Trolls World Tour

Bahasa: Inggeris

Pengarah: Walt Dohrn

Pelakon: Anna Kendrick, Justin Timberlake, J Balvin, Rachel Bloom, Flula Borg, Kelly Clarkson, James Corden, Ozzy Osbourne, Anderson Paak, George Clinton & Mary J. Blige.

Genre: Animasi / Kekeluargaan

Durasi: 1 Jam 35 Minit

Klasifikasi: P13

Tayangan: 12 Mac 2020

Bintang : 4.5 / 5