PERLAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei membuatkan banyak perancangan tergendala.

Bagaimanapun ia bukan penghalang buat Axiata Group Berhad untuk melancarkan video ucapan raya buatan sendiri tahun ini.

Tidak menafikan bahawa Aidilfitri tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya, syarikat telekomunikasi gergasi itu memutuskan untuk tampil dengan kelainan daripada filem pendek seperti kebiasaannya, kepada sesuatu yang bersesuaian dengan normal baharu.

Sebagai gantinya, syarikat ini menyatukan pekerjanya dengan memanfaatkan kecanggihan telefon bimbit untuk menghasilkan video muzik bertajuk Axiata Raya 2020 – Kugiran Axiata.

Bersandar kepada konsep persembahan band, video itu menampilkan pekerja di pelbagai peringkat dari Axiata, Celcom Axiata Berhad, Axiata Digital Services dan edotco Group Sdn Bhd memainkan instrumen dan menyanyikan lagu Suasana Hari Raya, serta menyampaikan ucapan perayaan mereka.

Vokal, instrumen dan gabungan suara dilakukan secara berasingan dan jarak jauh kemudiannya digabungkan sebagai video penuh.

Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axiata, Asri Hassan berkata : “Kami rasa terdorong apabila melihat bagaimana rakan sekerja kami dari seluruh kumpulan mengekalkan produktiviti dan menyesuaikan diri dengan baik untuk bekerja dari rumah, berjaya berhubung dan bekerjasama secara digital sejak beberapa bulan lalu.

“Ini adalah tahun luar biasa dan kami ingin melakukan sesuatu yang istimewa dalam musim perayaan ini dengan mengumpulkan semua pekerja kami menerusi cara yang menyeronokkan untuk menunjukkan semangat Axiata serta menyebarkan semangat gembira kepada keluarga, rakan kami, serta kepada pelanggan Axiata dan orang ramai.

Iklan

“Rasa terharu apabila kami dapat melakukan usaha yang unik dan kreatif ini walaupun terpisah antara satu sama lain.

“Kami berharap video itu dapat dinikmati dan menambahkan kegembiraan pada perayaan anda bersama orang tersayang,” ujarnya.

Iklan

Bagi yang ingin menonton, sila layari Axiata Raya 2020 – Kugiran Axiata