Usaha murni Zara Zya bantu front liners

ZARA ZYA
March 20, 2020
Aqmar Mustaza

PELAKON cantik, Zara Zya memulakan usaha murni untuk membantu sukarelawan dan petugas yang menjadi barisan hadapan (front liners) dalam menghadapi pandemik wabak koronavirus (Covid-19).

Menerusi projek Zara Prihatin yang bernaung di bawah PRIHATIN Tanpa Sempadan, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama rapat dengan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) & Briged Kesenian APM, selebriti berusia 35 tahun itu mengajak peminat dan orang ramai untuk sama-sama memberi sumbangan serendah RM1.

“Saya mengambil inisiatif untuk membantu sukarelawan dan petugas yang menjadi front liners dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita dan dunia.

“Mereka bertungkus lumus mengawal keadaan dalam memastikan semuanya terkawal tanpa menghiraukan risiko dan bahaya yang terpaksa mereka hadapi.

“Melalui Projek Zara Prihatin ini, saya berharap peminat dan orang ramai dapat memberi sumbangan serendah RM1 bagi membeli barang keperluan asas iaitu Personal Protection Equipment (PPE) seperti mask, sanitizer kepada petugas dan sukarelawan ketika menjalan misi mengawal Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.

ZARA ZYA PRIHATIN
Zara mengajak orang ramai untuk menyumbang serendah RM1 bagi membantu front liner dalam mengawal pandemik Covid-19.

Tambah Zara, dia berharap lebih ramai lagi dapat membantu menjayakan misi mencari dana ini agar lebih banyak bantuan dapat dihulurkan.

“Apa yang boleh saya katakan, semakin banyak dana yang kita dapat, semakin banyak yang dapat kita berikan,” ujarnya.

About Aqmar Mustaza