LEBIH empat tahun bergelar anak seni dan meraih pelbagai kejayaan menerusi single-single terdahalu, penyanyi Wany Hasrita tidak mahu menoleh ke belakang lagi, malah mahu terus menyumbang bakatnya kepada industri.

Terkini, pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 28, yang mula dikenali menerusi lagu Menahan Rindu itu, tampil dengan single terbaharu, Canggung, sebuah lagu bergenre irama tradisional moden ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Menurut Wany, biarpun sebelum ini dia dikenali menerusi lagu berentak balada, namun tidak salah baginya untuk mengembalikan kemeriahan irama tradisional.

“Saya suka kedua dua genre sama ada balada mahupun tradisional. Cuma niat saya hanya satu setidaknya inilah usaha untuk mengembalikan kemeriahan irama tradisional walaupun dalam bentuk moden.

“Setiap lagu nyanyian saya sebelum ini mempunyai tempat istimewa dalam hati saya. Cuma untuk lagu Canggung ini, ia lain daripada yang lain.

“Lagu ini merupakan hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang kita semua tahu keistimewaan mereka dalam mencipta sesebuah lagu itu. Pasti akan menjadi ‘hit’,” ujar Wany kepada Sinar Plus.

Berkongsi proses rakaman lagu ini yang dilakukan beberapa bulan lepas, kata Wany, semuanya berjalan lancar dipermudahkan.

Apatah lagi sebelum ini dia pernah bekerjsama dengan komposer terbabit menerusi lagu Belenggu Rindu, duet bersama Datuk Jamal Abdillah.

“Alhamdulillah sepanjang proses rakaman Canggung bersama Ezra dan Hael sangat mudah. Kami senang bekerjasama dan tidak mengambil masa yang panjang untuk rakaman,” katanya.

Dalam pada itu, Wany yang juga Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2018, meluahkan rasa syukurnya apabila lagu dan muzik video tersebut mendapat sambutan baik daripada para pendengar.

Malah semenjak dilancarkan pada 27 Mac lalu, muzik video Canggung meraih 1.7 juta tontonan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Untuk konsep muzik video Canggung kali ini agak berlainan. Boleh dikatakan saya melakukan transformasi yang tidak pernah dilihat peminat dalam video muzik lagu sebelum ini.

Iklan

“Kami bersetuju bersama dengan team production yang menjayakan muzik video dan pihak label FMC sepakat untuk mengenengahkan konsep ‘dark’ bagi menonjolkan karya Canggung Hael dan Ezra.

“Proses pembikinannya sangat menarik, cuma ketika penggambaran dilakukan saya sedikit ketakutan kerana ada babak yang memerlukan saya memegang ular.

“Disebab saya tak berani dan hampir nak menangis kerana sangat takut, ular tersebut hanya duduk sebelah saya saja,” akuinya jujur.

Iklan

Biarpun Canggung dilancarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Wany tidak menyangka para peminatnya tetap memberikan sokongan.

“Saya tidak jangka akan mendapat maklum balas yang sangat positif dari peminat dan mereka sangat supportive dengan menjayakan “#canggungchallenge” di Instagram di mana mereka boleh menari tarian yang sama yang saya buat dalam muzik video itu,” akhiri Wany.

 

(FOTO: FMC Music)