Zahirah MacWilson mahu terus beraksi lasak

March 15, 2020
Oleh Wawann Mohd

SETELAH hampir lima tahun menceburi bidang seni, pelakon tinggi lampai, Zahirah MacWilson mampu tersenyum apabila bakat lakonannya semakin menyinar seiring populariti yang diraih.

Pun begitu, Zahirah, 25, tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian tersebut, sebaliknya sentiasa mencari peluang baharu untuk mengembang bakatnya, sekali gus melengkapkan impian untuk menjadi antara pelakon terbaik Malaysia.

Jika sebelum ini nama Zahirah begitu sinonim dengan watak gadis lemah lembut, romantik dan sebagainya, kini isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu tampil dengan sisi berbezanya.

Filem Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam itu ternyata membuktikan kemampuan Zahirah menjayakan watak aksi dan pertarungan yang mencuri perhatian ramai.

“Sebenarnya sebelum masuk industri lagi, impian saya memang nak buat filem aksi. Saya minat dan suka dengan karakter-karakter hebat yang ditampilkan dalam filem genre sebegitu.

“Bagaimanapun bila dah bergelar pelakon, saya banyak mendapat tawaran untuk buat watak-watak yang biasa kita lihat di kaca TV sahaja.

“Hanya menerusi filem pertama lakonan saya ini, peluang keemasan datang untuk saya buat aksi. Disebabkan teruja dengan peluang itu, saya berusaha memberikan yang terbaik untuk watak Bulan,” ujarnya.

Mengakui ia tidak mudah seperti yang disangka, Zahirah yang sebelum ini turut aktif dalam dunia peragaan, membuat persediaan selama tiga bulan sebelum masuk ke set penggambaran.

Iklan

“Saya sebenarnya langsung tidak ada asas dalam seni mempertahankan diri. Bila terima tawaran ini, barulah saya mempersiapkan diri dengan mengikuti latihan fizikal dan mental yang disediakan pihak produksi.

“Begitu juga dengan latihan koreografi yang mengambil masa selama sebulan untuk memastikan saya dapat beraksi dengan baik dan memenuhi tuntutan karakter yang hebat dalam bertarung.

“Atas bantuan pengarah dan rakan-rakan dalam produksi juga saya berjaya melakukan sendiri kesemua aksi lagak ngeri melibatkan watak saya dalam filem ini,” katanya yang juga menjalani sesi khas belajar bahasa Indonesia.

Berkongsi babak yang paling mencabar buat dirinya ketika melakukan aksi, kata Zahirah babak pertarungan yang menyaksikan dia dan Maya Karin bergasak di atas bumbung bas dan babak dicampak ke dalam almari antara yang menguji kemampuannya.

Iklan

“Babak berlawan atas bas dan dicampak ke dalam almari dengan Maya agak sukar buat saya kerana kami saling berhati-hati takut mencederakan diri masing-masing.

“Kalau bergasak dengan pelakon lagak ngeri, saya tidak risau sangat kerana mereka ada kepakaran tersendiri untuk mengelak dan sebagainya, tetapi bila dengan rakan pelakon saya takut terlebih memberi sehingga mencederakan.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang kecederaan semasa penggambaran. Cuma setiap hari ada kesan lebam, calar dan bengkak di badan di mana itu adalah situasi biasa untuk pelakon aksi,” katanya.

Mengulas tentang pujian diterimanya semenjak pertama kali filem itu ditayangkan sehingga ada yang menyifatkan dia berjaya mengisi kekosongan pelakon aksi wanita di Malaysia, Zahirah meluahkan rasa syukurnya.

“Bila ramai memberikan respon positif, saya lega dan terharu. Akhirnya usaha keras selama ini berhasil.

“Jika diberikan peluang berlakon aksi lagi, saya akan memperbaiki kekurangan dan menggandakan usaha untuk memberikan lebih baik daripada sebelumnya.

“Dalam masa yang sama mengharapkan agar lebih ramai pelakon wanita diberikan peluang untuk terlibat dalam lakonan aksi,” akhiri Zahirah.

About Wawann Mohd

Biodata Penulis