• Monday , 25 May 2020

‘Nama saya bukan sirap’

March 29, 2020
Arziana Mohmad Azaman

SEKALI pandang barangkali ramai yang menyangka, model cilik yang menghiasi botol minuman kordial yang pernah popular suatu ketika dahulu adalah pelakon terkenal, Liyana Jasmay berikutan wajahnya hampir serupa.

Namun begitu, kebanyakan sangkaan itu meleset sama sekali. ‘Rahsia’ sebenar siapakah pemilik wajah comel tersebut ‘terbongkar’ apabila tuan punya badan memunculkan diri bersama botol minuman dengan kapsyen “Nama saya bukan sirap”.

Ya, melihat botol dengan model ‘penghias’ pada bekas itu sahaja pasti akan mengimbau memori golongan mereka yang ‘membesar’ seangkatannya.

Sudah pasti ramai juga yang masih mengingati raut muka itu dalam kotak fikiran. Buktinya, jelas empunya wajah, dirinya berdepan situasi bukan sekali dua ditegur oleh orang yang tidak dikenali.

Menganggap mereka hanya ‘peminatnya’, Madihah Mohd Firdaus mengakui pernah diusik dengan panggilan ‘sirap’ oleh sekumpulan lelaki ketika berada di sebuah kafe. Pun demikian, momen berkenaan menjadikannya lali dengan gurauan sedemikian.

Begitupun, sering dikaitkan dengan pelakon filem Papadom itu dek rupanya ketika kecil persis pelakon berbakat berkenaan, bagaimanapun anak jati Kuala Lumpur itu tidak melatah dan hanya tersenyum.

Gadis cantik manis dengan ketinggian 157 sentimeter itu juga pernah memberi penjelasan mengenai salah faham tersebut. Luahannya pernah dikongsikan dalam sebuah blog ketika berusia 14 tahun selepas isu mengenai model botol minuman berkenaan menjadi tular.

GADIS KORDIAL
MADIHAH kini aktif dalam bidang peragaan dan masih diingati.

“Saya pernah menerangkan mengenai perkara itu kepada bloger berkaitan. Ia sudah selesai ketika itu. Tidak sangka pula, ‘isu’ model botol minuman itu mula tular semula ketika berumur 18 tahun.

“Gambar saya sedang pegang botol tanpa sebarang kapsyen dan ditularkan oleh seorang instafamous yang memaklumkan, saya model yang sebenar,” ceritanya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Mengimbas cerita mengenai penglibatan awalnya sebagai model cilik, lulusan Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu rupanya didedahkan dengan bidang peragaan oleh ibunya.

“Ibu suka bawa saya pergi uji bakat masa kecil-kecil dulu. Tidak sangka ada rezeki jadi model untuk produk minuman itu. Dulu adalah papan iklan dipasang, namun sekarang hanya tinggal gambar di botol sahaja.

GADIS KORDIAL
KENANGAN Madihah ketika berusia empat tahun di pangkuan neneknya, Halimah Abdullah.

“Pernah juga saya sertai Bintang Kecil dan tawaran jadi model. Sekarang ini pun saya ada terima tawaran jadi model iklan, sementara menunggu panggilan untuk peringkat ijazah,” katanya yang juga adik kepada Nabil Mentor.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak menafikan rezekinya melimpah ruah selepas fotonya yang memegang botol minuman kordial tersebut bersama abangnya pada sambutan Aidilfitri 2019 lalu sekali lagi tular.

“Masa itu, abang minta saya bergambar dengan botol minuman kordial itu sebagai mengimbas kenangan. Tidak sangka pula ia dikongsi sampaikan pengikut dalam Instagram saya naik mendadak sehingga 40,000 orang.

“Mungkin tempias abang sebagai artis ketika itu dan benda mudah viral, jadi saya dikenali dalam media sosial,” katanya.

Kini berusia 22 tahun, Madihah turut menawarkan perkhidmatan membuat ulasan berbayar (paid review) untuk produk kecantikan dan kesihatan.

GADIS KORDIAL
PEMILIK wajah model cilik ini kini sudah berusia 22 tahun.
Komen

About Arziana Mohmad Azaman

Biodata Penulis