OTAK merupakan organ penting bagi membolehkan manusia untuk mengerakkan anggota badan, menyimpan memori dan berfikir.

Kadangkala kesibukan kerja atau kerap berfikir boleh menyebabkan gangguan pada bahagian otak sehingga menjejaskan umpuan sekali gus memberi kesan kepada tugasan harian.

Dipetik daripada CNN Indonesia, makanan antara yang dapat membantu untuk ‘merancakkan’ semula perkembangan otak sekali gus mengelakkan daripada menjadi ‘tepu’.

Selain mendapatkan waktu rehat dan tidur yang cukup, pola makanan yang seimbang juga banyak memainkan peranan penting bagi meningkatkan tahap kesihatan otak.

Justeru, SinarPlus kongsikan lima hidangan yang dapat membantu untuk menguatkan daya ingatan dan membantu untuk menjalani kehidupan dengan baik:

1. Vitamin C dan asid folat

Minda seseorang boleh berada pada tahap ‘keletihan’ kerana mengalami kekurangan vitamin C dan asid folat yang rendah.

Amalkan memakan buah-buahan seperti betik, jambu batu, beri atau kiwi sementara asid folat pula boleh didapati daripada tumbuhan hijau seperti bayam dan kangkung.

2. Probiotik

Selain daripada makanan, tahap kesihatan otak turut terkait rapat dengan penghadaman.

Disebabkan itu, pengambilan makanan probiotik seperti yogurt asli tanpa gula dapat melancarkan pencernaan.

3. Teh hijau atau kopi

Kajian mendapati minum satu atau dua cawan kopi sehari dapat membantu mengurangkan tekanan pada bahagian otak. Begitu juga dengan minuman teh hijau.

Kandungan antioksidan dalam kopi selain kaya dengan polifenol dapat membantu untuk menjadi lebih fokus dan ia juga dapat menenangkan fikiran.

4. Coklat hitam

Iklan

Selain kopi, coklat hitam juga mempunyai kadar antioksidan yang tinggi. Selain itu, kandungan flavoniod dalam koko juga dipercayai dapat melancarkan aliran darah ke otak.

Flavoniod juga dikatakan dapat meningkatkan kadar fungsi kognitif, mengawal tekanan darah dan meningkatkan tumpuan.

5. Air putih

Bagi sesetengah individu, pengambilan air putih merupakan satu perkara wajib manakala ada juga yang sebaliknya.

Iklan

Minum air putih bukan sahaja dapat membantu meningkatkan konsentrasi, bahkan ia juga dapat membantu memberikan ketenangan fikiran.

Disarankan seorang dewasa perlu minum air putih sekurang-kurangnya dua liter sehari.

Oleh itu, penjagaan makanan penting kerana segalanya bermula daripada dalam. Selain penjagaan dalam soal pemakanan, kawalan stres akibat tekanan juga perlu diambil kira.

Sekiranya badan sudah berasa letih, sebaiknya ambil masa untuk berehat dan jangan terlalu memaksa diri.

Ubah corak pemikiran agar dapat memotivasikan diri agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.