KECANTIKAN dan fesyen merupakan sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dengan wanita.

Biarpun ke mana sahaja berada, penampilan dan personaliti seseorang itu menjadi perkara pertama yang dinilai.

Secara zahirnya, begitulah kehidupan kita di dunia ini apabila luarannya lebih dinilai berbanding apa yang tersirat dalam diri seseorang itu.

Ah, sebenarnya penulis sahaja menulis mukadimah begitu memandangkan hari ini seolah-olah merupakan fasa baharu dalam kalangan kita yang kembali bekerja selepas lebih lima hari bercuti.

Apa yang hendak diperkatakan pada artikel kali ini adalah mengenai pertandingan Miss Universe 2021 yang berlangsung di Seminole Hard Rock Hotel & Casino, Hollywood, Florida, Amerika Syarikat pada 14 Mei lalu.

Seperti biasa, pertandingan ini mendapat tontonan daripada seluruh dunia. Sudah pasti, mereka akan menyokong peserta di negara mereka, di samping pelbagai komen yang dilontarkan.

Peserta dari Mexico, Andrea Meza berjaya menewaskan 73 peserta lain apabila dinobatkan sebagai Miss Universe sekali gus mengetepikan empat pesaing lain iaitu Brazil, India, Peru dan Republik Dominica.

Apa yang menarik perhatian semestinya melihat busana mereka yang masing-masing menggayakan baju kebangsaan negara masing-masing.

Pun demikian, berikut adalah lima kostum dari negara-negara lain yang menarik dan mencuri pandangan mata SinarPlus:


1. Miss Mexico

Andrea Meza yang mewakili Mexico mempamerkan budaya dan nilai sejarah negara terbabit dalam busananya yang digelar Alebrije.

2. Miss Mauritius

Gadis pulau, Vandana Jeetah mewakili negaranya yang terletak kira-kira 2,000 kilometer dari tenggara Afrika di Laut Hindi. Mempamerkan keindahan flora dan fauna, Jeetah mengakui berasa bangga dapat membawakan budaya ke mata dunia.

3. Miss Myanmar

Thuzar Wint Lwin atau popular dipanggil Candy Thuzar menjadikan pentas Miss Universe 2021 sebagai medan buatnya menyampaikan mesej anti keganasan dan pergolakan politik.

Iklan

Memegang sepanduk yang tertera ‘Pray for Myanmar’ (Doa buat Myanmar), Candy menggayakan pakaian tradisional masyarakat kaum Chin yang dipakai pada acara festival Khwang Cawi di Myanmar.

4. Miss Nepal

Anshika Sharma bangga mengayakan busana yang mempamerkan kebudayaan dan keindahan kawasan gunung di Nepal.

Kata Anshika, busana itu menyerlahkan usaha keras penduduk setempat bukan sahaja menyiapkan busana tersebut tetapi juga realiti kehidupan warga Nepal.

Iklan

5. Miss Malaysia

Francisca Luhong yang menjadi kebanggaan warga Malaysia memperagakan kostum bertemakan Kampungku sebagai taruhan ke acara berprestij itu.

Wanita berusia 25 tahun itu membanggakan rakyat Malaysia meskipun tidak berjaya menempatkan diri di peringkat akhir.

Biarpun gagal, tidak mengapa kerana jika bukan tahun ini, boleh jadi tahun depan atau tahun-tahun berikutnya.

Perkara utama jangan mudah mengalah dan teruskan berusaha sehingga mahkota juara itu berjaya menjadi milik Malaysia.