SELAIN memberi fokus kepada penampilan fizikal, kesihatan otak juga perlu diberi perhatian kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti dan aktiviti harian.

Hal ini kerana otak merupakan organ penting yang bertanggungjawab dalam mengendalikan fungsi tubuh.

Disebabkan itu, penjagaan kesihatan otak perlu dipandang serius sama seperti jantung dan organ lain yang turut memainkan peranan penting pada tubuh badan manusia.

Menurut CNN Indonesia, terdapat beberapa kebiasaan yang dilihat remeh, namun berpotensi merosakkan fungsi otak sekali gus menjejaskan kesihatan.

Tindakan sebegini seharusnya dielakkan, namun sebilangannya masih kerap melakukan dan menganggap satu perkara biasa meskipun telah beberapa kali dinasihatkan.

Berikut SinarPlus kongsikan lima kebiasaan yang dapat merosakkan otak:

1. Penggunaan fon telinga dan kepala

Alunan muzik bukan sahaja dapat memberikan ketenangan jiwa, tetapi ia juga berpotensi untuk mengubah ‘mood’ seseorang.

Bagaimanapun, sekiranya kerap mendengar muzik dengan kuat, ia akan menyebabkan gangguan pada bahagian otak. Antara masalah yang akan berlaku ialah kehilangan memori dan gangguan jaringan otak.

2. Merokok

Amalan merokok bukan sahaja boleh menjadi salah satu kepada penyebab kanser, tetapi ia turut mengakibatkan ingatan seseorang semakin merosot.

Oleh itu, perokok akan lebih mudah terdedah kepada penyakit Alzhelmer.

3. Kurang bercakap

Kadangkala berdiam diri itu lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar, namun tindakan berdiam diri juga dapat mengundang bahaya.

Bagi individu yang kurang berkomunikasi atau bersosial bersama keluarga dan kenalan, mereka ini dipercayai kurang kreatif dan tidak produktif selain terdedah kepada kurang daya ingatan.

Sebaiknya, luangkan masa untuk menghubungi beberapa ahli keluarga atau kawan-kawan untuk bertanya khabar dan saling bertukar cerita.

Iklan

4. Terlalu banyak makan

Selain terdedah kepada risiko obesiti dan masalah penyakit kronik seperti masalah jantung atau kencing manis, terlalu banyak makan juga boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pelupa atau mengalami gangguan kognitif ringan (MCI).

Menurut laman web health.detik.com, MCI atau Mild Cognitive Impairment ialah penurunan fungsi kognitif yang menurun atau kehilangan daya untuk mengingatkan sesuatu perkara.

5. Tidak bersarapan

Sarapan mungkin dianggap tidak penting seperti makan tengah hari dan makan malam.

Iklan

Sebenarnya, sarapan pagi penting terutama untuk tumbesan otak. Hal ini kerana selepas bangun dari tidur, kadar gula dalam darah akan menurun. Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan kesan buruk kepada seseorang sekiranya tidak bersarapan.

Oleh itu, penjagaaan kesihatan amat penting dan ia seharusnya bermula daripada makanan.

Ambillah makanan yang seimbang mengikut saranan piramid makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Cara ini juga dapat melahirkan rakyat Malaysia yang cerdas dan cergas.