SEBELUM wujudnya lambakan media sosial yang pelbagai, golongan selebriti dan individu berpengaruh lazimnya dijadikan sebagai ikon fesyen.

Gaya, mekap dan penampilan mereka dari hujung rambut hingga ke hujung kaki menjadi ikutan ramai.

Pada era 1950-an hingga 1990-an, barisan nama seperti Madonna, Puteri Diana, Elizabeth Taylor, Marilyn Monroe dan Audrey Hepburn menjadi antara figura antarabangsa yang dijadikan sebagai ‘paksi’ dunia fesyen.

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Nama-nama seperti Nasha Aziz, Noor Kumalasari dan Yasmin Yusoff sentiasa menjadi rujukan dalam kalangan kaum Hawa suatu ketika itu.

Pun demikian, zaman yang silih berganti menyaksikan semuanya telah berubah. Kehadiran aplikasi seperti MySpace, Facebook, Pinterest, Snapchat, Bigo mahupun Instagram dan TikTok dilihat telah mengubah landskap daripada selebriti kepada bintang media sosial yang kadangkala kita tidak pasti latar belakang mereka.

Namun, apa yang pasti, pengaruh yang dimiliki membuatkan mereka memperoleh kedudukan sama tinggi dengan selebriti. Ada pendapat yang mengatakan, segala apa yang ditonjolkan mahupun dipakai, laris bak pisang goreng panas.

Senario itu secara langsung telah mewujudkan satu profesion baharu yang dinamakan bintang media sosial atau istilah lebih terkenal, influencer.

Seorang influencer pernah memberitahu penulis bahawa dia dibayar sekitar RM5,000 dengan hanya menyarung koleksi pakaian daripada satu jenama yang kurang popular.

Cerita itu bukan satu rekaan kerana rata-rata golongan itu mengakui memperoleh pendapatan yang lumayan. Tidak hairanlah, dalam catatan cita-cita anak muda zaman kini, mereka memasang impian menjadi influencer.

SinarPlus menerusi segmen Indeks Fesyen kali ini mengetengahkan lima influencer yang berjaya menakluk hati pengguna dengan apa sahaja item atau gaya fesyen yang ditampilkan.

1. TYRA KAMARUZZAMAN
Instagram: @tyrakmrzmn
Bilangan pengikut: 495,000
Umur: 22 tahun

Populariti Tyra menerusi media sosial mendorong gadis muda itu melancarkan jenama beliau sendiri yang dinamakan BeauTYRA. Bayangkan, daripada minatnya yang suka bersolek, beliau berjaya melahirkan jenama kosmetik kebanggaannya.

Berdasarkan rekod, BeauTYRA mula menembusi pasaran tempatan pada pertengahan tahun 2018 melalui platform e-dagang Shopee. Memetik laporan media sebelum ini, maklum balas yang diterima dalam kalangan pengguna begitu mengagumkan apabila produknya laris terjual dalam masa empat minit sahaja ketika mula dilancarkan.

Bukan sahaja terdapat pemerah pipi yang pernah menjadi kegilaan ramai, malah kini BeauTYRA memiliki koleksi gincu, palet mata dan rangkaian mist.

2. SHARIFAH ROSE
Instagram: @sharifahrose_
Bilangan pengikut: 709,000
Umur: 23 tahun

Pernah menjadi penghias wajah SinarPlus, pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfir satu nama yang tidak asing lagi.

Meskipun tercalit dengan beberapa kontroversi, beliau terus menjadi pilihan jenama lokal mahupun antarabangsa untuk membuat ulasan atau memperagakan koleksi busana, tudung atau aksesori wanita.

Sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Perniagaan (Pemasaran) di UOW Malaysia Kolej Universiti Damansara Utama, beliau yang mesra disapa dengan Rose pernah menjalin kerjasama dengan Al-Humaira, Alia Bastamam, Urban Delay, Guardian dan Naelofar.

Segalanya seperti sempurna jika beliau memakai apa sahaja produk dan kostum. Hal itu membuatkan ramai gadis meniru penampilan beliau yang juga sudah menempah nama sebagai pelakon.

Iklan

3. FATIN NORAISHAH SHAFIKA
Instagram: @ftnshc
Bilangan pengikut: 149,000
Umur: 28 tahun

Rata-rata pengguna tegar media sosial kenal dengan wanita yang berusia 28 tahun itu.

Fatin Noraishah terlibat dalam peragaan dengan label-label popular seperti Naelofar, Lily Petuna dan Poplook.
Wanita tersebut dikatakan mempunyai aura dan daya tarikan tersendiri dengan penampilannya yang gemar melakukan eksperimentasi fesyen.

Pendekatannya telah dijadikan contoh oleh ramai wanita berhijab dalam melakukan pemilihan busana.

4. Nina Khalil
Instagram: @khaininakhalil
Bilangan pengikut: 120,000
Umur: 23 tahun

Sekali pandang, aksinya di hadapan kamera saling tidak tumpah seperti sosok penyanyi popular, Yuna.

Iklan

Bagaimanapun apabila diamati beliau adalah Nina Khalil yang menjadi antara individu popular di media sosial terutamanya Instagram.

Beliau telah dijadikan rujukan para gadis terutama melibatkan produk kecantikan. Penampilannya turut menjadi ikutan anak muda yang ingin tampil santai dan bersahaja.

5. Nabilah Azha
Instagram: @nabilahazha
Bilangan pengikut: 63,100
Umur: 25 tahun

Melihatnya menggayakan tudung jenis labuh menutupi dada membuatkan diri Nabila Azha dikatakan mirip seperti pelakon Indonesia, Asmirandah yang popular dalam filem Ketika Cinta Bertasbih.

Kepada wanita yang baru mengenakan hijab dan mahu tampil lebih sopan, influencer itu sesuai dijadikan rujukan dari segi gaya, pemilihan kostum dan tudung.

Selain melibatkan fesyen, Nabilah rajin berkongsikan tip tentang penjagaan kulit dan wajah.