SESETENGAH individu sering mengabaikan pengambilan sarapan pagi kerana tidak mempunyai masa atau dianggap tidak penting.

Perkara berbeza berlaku apabila menjelang waktu makan tengah hari dan malam. Kedua-dua waktu itu sering menjadi ‘buruan’ mereka terutama yang bekerja di pejabat.

Disebabkan itu, sarapan sering diabaikan atau dalam kata mudah lain ‘dianaktirikan’ sehingga mereka tidak mementingkan kandungan nutrisi atau tabiat pemakanan yang betul.

Terdapat beberapa perkara yang boleh menjadi punca berlakunya kenaikan berat badan sekiranya tidak serius dalam mengamalkan gaya pemakanan sihat.

Berikut SinarPlus kongsikan lima kesilapan yang sering berlaku saat bersarapan menurut sumber CNN Indonesia:

1. Minum jus

Minuman jus pada waktu pagi selalu menjadi kebiasaan. Paling cepat untuk mendapatkan minuman tersebut ialah dengan cara membelinya di kedai. Minuman jus dalam botol atau kotak sering menjadi pilihan, tetapi sedarkah bahawa amalan tersebut akan mengganggu kesihatan kerana pola makan yang tidak betul.

Seharusnya jus buah perlu dihasilkan secara semula jadi tanpa perlu mencampurkan dengan bahan asing terutamanya gula. Jika inginkan sarapan yang baik, seeloknya bangun awal untuk melakukan persiapan agar anda tidak terkejar-kejar untuk bekerja.

2. Yogurt berperisa

Pengambilan yogurt sering dikaitkan dengan individu yang ingin menurunkan berat badan. Bagaimanapun, pemilihan yogurt perlu dilakukan dengan betul kerana bimbang kandungan gula yang berlebihan akan menyebabkan berat meningkat dengan mendadak.

Sebaiknya pilih yogurt yang rendah kandungan gula dan lemak. Pengambilannya juga boleh disertakan bersama buah-buahan.

3. Sarapan segera

Amalan memakan bar bijirin pada setiap pagi bukan satu perkara asing. Bukan sahaja di luar negara, malah perkara itu turut menjadi ikutan masyarakat negara kita.

Tabiat ini perlu diubah kerana jika kerap diamalkan tanpa kawalan, kebarangkalian berat badan boleh meningkat. Kandungan gula yang terdapat dalam bar bijirin itu juga boleh menyebabkan anda cepat berasa lapar.

4. Kopi manis

Iklan

Tidak dinafikan kopi mempunyai banyak manfaat seperti, membakar lemak, meningkatkan tenaga dan membantu menguatkan ingatan. Bagaimanapun, amalan meminum kopi manis akan mengundang keburukan sekiranya tidak diambil dengan cara yang betul.

Hal ini disebabkan kandungan gula berlebihan akan mengganggu diet pemakanan. Sebaiknya air bancuhan kopi tidak perlu dicampurkan dengan gula atau krimer.

5. Makan putih telur

Setiap daripada kita pastinya ingin mengelakkan diri daripada ‘dikelilingi’ dengan kolesterol yang tidak baik untuk kesihatan. Disebabkan itu ramai yang mengelak daripada memakan kuning telur.

Iklan

Perkara sebegini berlaku kerana mereka beranggapan kuning telur mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Walhal, kandungan vitamin D dalam kuning telur dipercayai dapat membantu mengurangkan lemak.

Kandungan kolin dan nutrisi kuning telur juga dapat membantu meningkatkan kadar metabolisma yang baik untuk fungsi saraf dan perkembangan otak.

Secara kesimpulannya, amalan pemakanan yang seimbang dan meluangkan waktu untuk melakukan aktiviti fizikal dapat memastikan berat badan yang ideal.

Penurunan berat badan tidak semestinya boleh dilakukan dengan cara berlapar, tetapi perlu bijak dan tersusun.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda dalam memastikan tabiat pemakanan yang seimbang.