TIDAK dinafikan selebriti bukan sahaja digilai dari segi lagu, tarian dan fesyen, malah rutin kecantikan yang dipraktikkan turut menjadi ikutan para peminat.

Boleh dikatakan sebahagian besar wanita cenderung mengamalkan diet, potongan rambut dan solekan seperti mana yang dilakukan penyanyi atau pelakon kegemaran.

Meskipun sukar mendapatkan hasil serupa sekurang-kurangnya mereka berpuas hati apabila tampil persis selebriti pujaan.

Justeru, segmen Sihat Cantik hari ini berkongsi amalan kecantikan dan kesihatan daripada tiga artis popular antarabangsa.

Biarpun sentiasa sibuk dengan jadual yang padat, tetapi ketiga- tiga wanita itu masih kekal cantik, bertenaga dan menawan.

Mengapa? Ini jawapannya:

Beyonce

beyonce

 

Menurut pelantun lagu Single Ladies tersebut jika beliau tidak mendapat tidur yang cukup, maka sepasang matanya akan tampak lesu dan tidak bermaya.

Bagi mengatasi masalah berkenaan penyanyi berusia 39 tahun itu akan menggoles pembayang mata rona kuning keemasan pada sudut kelopak mata.

“Warna kuning keemasan lebih ideal dan membuatkan mata kelihatan segar berbanding menggunakan pembayang mata warna putih,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Rihanna

Iklan

rihanna

Penyanyi yang popular dengan lagu Umbrella itu mempunyai cara tersendiri untuk menutup lingkaran hitam bawah mata.

“Solusi terbaik adalah dengan memakai concealer pada bahagian bermasalah seperti bintik-bintik hitam dan lingkaran hitam bawah mata.

“Sebelum mengaplikasi pada kulit wajah, saya akan menyapu concealer atas tangan terlebih dahulu,” ulas selebriti berusia 32 tahun itu.

Adele

Iklan

adele

Tahun ini penyanyi Adele mencuri tumpuan ramai apabila susut berat badan sebanyak 22 kilogram.

Adele atau nama sebenar, Adele Laurie Blue Adkins menjelaskan, penurunan berat badan sedemikian susulan tidur yang teratur dan bersenam secara konsisten seperti angkat beban dan pilates.

Pada masa sama, beliau mengamalkan diet Sirtfood, memfokuskan pemakanan sihat yang harus dilaksanakan selama seminggu secara berterusan.

Antaranya, mengawal pengambilan tidak lebih 1,000 kalori pada tiga hari pertama dan minum tiga gelas jus epal hijau bersama protein.