TEMPE adalah makanan yang biasa dimakan oleh orang Jawa di Malaysia terutamanya negeri Johor dan Selangor.

Pun demikian, tempe sudah menjadi makanan bersifat universal. Ramai di antara kita sukakannya termasuk rakan penulis yang berbangsa Tionghua dan India.

Rakan penulis dari negara Chile dan Mongolia yang pernah bertandang ke Malaysia pun gemarkannya!

Tempe diperbuat daripada kacang soya yang melalui proses fermentasi dengan menggunakan ragi.

Malah menurut portal kesihatan antarabangsa, healthline.com, tempe mempunyai kandungan nutrisi yang hebat.

Buktinya, dalam setiap 100 gram (g), tempe mengandungi kandungan berikut:

  • Air: 55.3g
  • Kalori: 201kCal
  • Protein: 20.8g
  • Lemak: 8.8g
  • Karbohidrat: 13.5g
  • Serat: 1.4g
  • Kalsium:155 miligram (mg)
  • Fosfat: 326mg
  • Zat besi: 4.0mg
  • Natrium: 9mg
  • Kalium: 234mg
  • Copper: 0.57mg
  • Thiamin: 0.19mg
  • Riboflavin: 0.59mg
  • Niacin: 4.9mg

Bercakap mengenai khasiat tempe, Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, makanan itu merupakan sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan yang terbaik.

“Protein daripada tempe digunakan untuk memperbaiki sel tubuh yang rosak kerana mempunyai protein (asid amino) yang bagus untuk mengelakkan penyakit diabetes, penyakit jantung dan menjaga serta menurunkan berat badan,” tulisnya di Facebook baru-baru ini.

Selain itu, tambah Dr Zubaidi, protein dalam tempe dikatakan lebih larut dalam air dan ia akan meningkatkan aktiviti enzim proteolitik.

“Enzim proteolitik atau protease akan memecahkan rantai panjang protein menjadi sebatian yang dapat dicerna oleh tubuh,” ujarnya.

Menurut penerbitan jurnal Biomolecules, enzim berkenaan juga membantu fungsi pembelahan sel, pembekuan darah, meningkatkan sistem pertahanan dan penting untuk fungsi tubuh.

Bukan itu sahaja, tempe juga menurunkan risiko mendapat risiko mendapat osteoporosis.

“Dengan mengambil 100g tempe mampu memenuhi 15 peratus keperluan kalsium dan 65 peratus keperluan fosfot untuk sehari bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Ia juga dapat mencegah osteoporosis pada wanita yang telah mengalami menopaus,” katanya lagi.

Menariknya lagi, dalam satu kajian kajian antarabangsa yang lain pula menyebut, penyerapan kalsium daripada tempe tidak berbeza jauh dengan susu lembu, lapor International Journal of Food Sciences and Nutrition.

Justeru, beritahu Dr Zubaidi, untuk mendapatkan nutrisi yang sama dengan segelas susu, kita hanya perlu mengambil dua potong tempe.

“Hal ini tentu bermanfaat bagi mereka yang mengalami masalah alahan pada protein susu lembu,” tambah beliau lagi.

Iklan

CEGAH ANEMIA

Selain itu, kata pengamal perubatan itu lagi, tempe juga membantu mencegah anemia.

“Ini kerana tempe mengandungi vitamin B12 yang membantu tubuh dalam menghasilkan sel darah merah.

“Dalam setiap 100g tempe mengandungi sekitar 1.7 mikrogram vitamin B12 dan memenuhi 42 peratus keperluan vitamin B12 setiap hari,” kongsi beliau.

Untuk pengetahuan semua, jika badan kekurangan vitamin B12, tubuh akan menyebabkan rasa pening, penat, pucat pada kulit, keseimbangan tubuh menurun dan boleh mengganggu mood!

“Tempe juga dapat menangkis tindak balas radikal bebas kerana ia mempunyai sebatian antioksida (dalam bentuk isoflavon) yang sangat diperlukan untuk menghentikan tindakbalas dan pembentukan radikal bebas,” beritahu beliau lagi.

Salah satu kesan daripada radikal bebas adalah mempercepatkan proses penuaan.

“Jadi, dalam setiap 100mg tempe mengandungi sekitar 10 hingga 38mg isoflavon yang mempunyai pelbagai manfaat,” katanya.

Ingat, makanan yang boleh dianggap sebagai superfood itu boleh dimakan mentah cuma kita kena pastikan ia betul-betul bersih.

Iklan

Alternatif lainnya, tempe yang dikisar boleh dimasukkan ke dalam minuman jus buah-buahan. Sama ada anda mampu atau tidak sahaja, tapi apa-apapun kita cuba dulu.

Semoga perkongsian kami bermanfaat untuk anda!

ANEKDOT

KAJIAN-KAJIAN antarabangsa lain tentang khasiat tempe:

  • Kajian yang dilakukan oleh University of North, Carolina menunjukkan bahawa sebatian antioksida pada tempe dapat membantu pencegahan kanser prostat dan payudara.
  • Selain itu, tempe juga membantu menurunkan berat badan. Dalam setiap 100gm tempe mengandungi 20.8g protein.
  • Dalam kajian yang diterbitkan The American Journal of Clinical Nutrition pula mendapati, diet tinggi protein berasaskan kacang soya memiliki keberkesanan serupa dengan protein yang diambil daripada daging haiwan.
  • Oleh itu, tempe goreng adalah salah satu bentuk makanan yang paling digemari
  • Namun, jelas The American Journal of Clinical Nutrition, kandungan nutrisi yang terdapat dalam tempe seperti prebiotik yang diperoleh melalui proses fermentasi mungkin akan rosak apabila digoreng.