MENGIKUT sejarah negara kita, baju kurung difahamkan telah popular sekitar abad ke-19 sewaktu pemerintahkan Sultan Johor, Sultan Abu Bakar.

Ketika itu, busana tersebut sering digunakan untuk acara rasmi, majlis perkahwinan, sambutan perayaan mahupun pada majlis agama.

Pengaruh Islam yang datang ke Tanah Melayu secara tidak langsung juga telah mempengaruhi rekaan baju kurung.

Paling terkenal, semestinya baju kurung Teluk Belanga dan baju kurung Cekak Musang.

Biarpun ratusan tahun masa beredar, pemakaian pakaian jenis itu terus relevan dan telahpun diangkat sebagai pakaian kebangsaan negara kita.

Seiring dengan perkembangan semasa, rekaan baju kurung mengalami inovasi dengan sentuhan moden yang lebih kontemporari, namun masih mengekalkan ciri-ciri tradisional.

Sempena lebaran yang bakal disambut beberapa hari lagi walaupun suasananya agak muram sedikit, SinarPlus ingin berkongsi pengetahuan dengan semua pembaca tentang beberapa lagi rekaan baju kurung klasik.

Mungkin bagi sesetengah orang, mereka sudah arif, namun SinarPlus percaya, masih ramai lagi yang tidak tahu.

Berikut adalah perinciannya:

1. Baju Kurung Pesak

  • Potongan baju ini boleh dilihat dalam filem Melayu klasik.
  • Gaya potongan yang lebih retro itu digemari oleh kaum ibu terutamanya di desa.
  • Baju kurung Pesak juga merupakan jenis baju kurung tradisional Johor.
  • Mempunyai potongan pesak di kedua-dua belah bahagian kiri dan kanan.

2. Baju Kurung Pahang

  • Selain baju kurung Pahang, ia juga dikenali sebagai baju kurung Riau Pahang yang didakwa menjadi lambang pertalian di antara kerajaan Riau dan Pahang suatu ketika dahulu.
  • Memiliki pelbagai jenis nama lain antaranya baju Belah atau baju kebaya Turki, namun yang paling popular ialah baju kurung Pahang.
  • Rekaannya sama seperti baju kurung pesak. Baju kurung jenis itu juga mempunyai pesak di bahagian kiri dan kanan baju.
  • Menjadikan rekaannya berbeza, potongan pesak pada baju lebih lebar berbanding baju kurung Pesak.

3. Baju Kurung Kedah

  • Boleh dikatakan pakaian baju kurung Kedah ini diminati oleh golongan warga emas atau lebih mudah dipanggil nenek-nenek.
  • Potongannya yang singkat hingga paras pinggul dikatakan dipengaruhi stail dari negara jiran, Thailand.
  • Dahulunya, baju ini dipadankan dengan kain sarung, tetapi kini ia telah dikomersialkan.
  • Kebanyakan baju kurung Kedah kini boleh didapati dalam bentuk sepasang bersama kain dengan corak yang sepadan.

4. Baju Kurung Teluk Belanga

Iklan
  • Baju Kurung Teluk Belanga dipercayai berasal dari negeri Johor.
  • Rekaannya labuh hingga ke paras bawah lutut, manakala bahagian leher pula dijahit halus.

5. Baju Kurung Peplum

  • Selain dipanggil baju kurung Peplum, busana ini juga popular dengan gelaran baju kurung Saloma.
  • Nama biduanita itu yang isteri kepada legenda negara, P Ramlee diabadikan kerana beliau gemar tampil dengan menggayakan baju stail sebegitu.
  • Jika diamati, rekaan dan potonganya beralun pada bahagian pinggang hingga pinggul.
  • Selalunya potongan baju ini singkat hingga ke paras pinggul.

Diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak menambah pengetahuan semua.

Semoga ia juga dapat mengembalikan nostalgia beraya di kampung terutama buat mereka yang terpaksa beraya di rumah masing-masing.

Iklan

Sesungguhnya, nilai estetika busana klasik ini perlu dipelihara agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Tahun ini, nak berziarah dari rumah ke rumah pun tak boleh ya. Bergaya dalam rumah atau di halaman rumah saja nampak gayanya. Tak mengapalah, sama-sama kita patuh arahan kerajaan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin 🙂

NOTA KAKI: Inovasi dan transisi fesyen itu penting serta tiada masalah, tetapi jangan sampai hilang identiti asal busana peninggalan warisan zaman berzaman.