KECEMERLANGAN Dr Nur Amalina Che Bakri (Amalina) dalam bidang perubatan tidak perlu disangkal lagi. Pelbagai ilmu dan pengalaman berjaya dikutip satu-persatu anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sepanjang 15 tahun berkelana di negara orang.

Pun begitu, pakar bedah berusia 33 tahun tersebut sedikitpun tidak menyimpan ilmu itu sendirian, sebaliknya sentiasa berkongsi maklumat dan tip bersama pengikutnya menerusi laman sosial, Twitter dan Instagram.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja perkongsian Amalina yang dibesarkan di Johor Bahru, Johor mengenai fakta sahih kesihatan. Matlamat utama beliau adalah untuk mendidik masyarakat khususnya kelompok yang terlalu taksub mempercayai mitos.

Bagaimanapun, jika singgah ke Instagram peribadi @dramalinabakri, beliau bukan sahaja menyalurkan variasi maklumat yang bermanfaat tau.

Pada masa sama, Amalina yang sedang menyempurnakan kepakaran dalam bidang pembedahan awam di sebuah hospital terkemuka di London itu juga gemar berkongsi koleksi foto momen beliau melancong ke serata negara.

amalina
SETAKAT ini Dr Amalina berpeluang melancong lebih ke 60 buah negara yang menghidangkan pelbagai panorama indah.

Percutian di lebih 60 negara tersebut secara tidak langsung membantunya menenangkan fikiran, sekali gus ‘melarikan diri’ seketika daripada tugas kerja.

Persoalannya, selain bercuti apakah yang dilakukan oleh Amalina bagi merehatkan minda? bagaimana beliau kekal fit dan langsing, sedangkan umum mengetahui jadual tugasan pegawai perubatan padat dan tidak menentu? dan apa agaknya selera fesyen pilihan beliau?

Jom ikuti perkongsian Amalina yang merupakan pelajar pertama negara berjaya memperoleh keputusan 17A1 dalam peperiksaan SPM pada tahun 2004 bersama segmen Sihat Cantik SinarPlus hari ini.

a) Bagaimana Dr kekal bertenaga meskipun sibuk dengan tugasan harian?
Salah satunya adalah dengan melakukan kickboxing kerana ia bukan sahaja membantu ‘release stress’, malah meningkatkan stamina untuk menjadi lebih sihat.

Selain itu, saya juga bersenam di gimnasium sebanyak tiga atau empat kali seminggu dan berlari di sepanjang Sungai Thames selepas habis waktu kerja.

AMALINA
DR AMALINA menyifatkan aktiviti bouldering dan wall climbing membantu mengurangkan tekanan.

Ini termasuklah, aktif melakukan aktiviti bouldering dan wall climbing pada hujung minggu.

b) Boleh Dr kongsikan corak pemakanan diamalkan untuk kekal langsing dan bertenaga?
Saya suka makan sayur dan buah-buahan untuk mendapatkan zat vitamin dan nutrien secara asli. Pada masa sama, menikmati menu seimbang mengikut saranan suku suku separuh.

Ironinya, semua nutrisi yang baik boleh diperoleh daripada makanan sihat tanpa memerlukan supplemen.

Iklan

c) Jika diperhatikan Dr sentiasa tampil anggun dalam persalinan busana rekaan trend semasa. Apakah konsep fesyen kesukaan peribadi?
Saya meminati konsep fesyen smart, elegan dan classy. Bagaimanapun, lazimnya saya akan bergaya mengikut kesesuaian majlis dihadiri.

amalina

Dari segi pakaian pula, saya gemar mengumpul koleksi gaun sehingga tak terkira jumlah yang dimiliki. Namun begitu, sebahagiannya saya sumbangkan pada badan amal.

d) Antara jenama fesyen kegemaran?
Chanel, Gucci, Louis Vuitton, Ted Baker, Karen Millen dan Reiss.

Iklan

e) Adakah Dr berkesempatan menjalani sesi rawatan kecantikan di spa dan salun?
Ya, saya rajin melakukan rawatan wajah, urutan badan dan rawatan kuku kaki serta jari termasuk bersauna.

f) Nasihat Dr, terhadap individu yang mudah terpengaruh membeli produk berdasarkan janji manis dan testimoni?
Testimoni tidak boleh digunakan sebagai bukti sama ada produk itu berkesan ataupun tidak. Malah, testimoni juga boleh dibeli dan selebriti dibayar untuk memberikan testimoni produk terbabit.

Artikel berkaitan:  Dr Amalina membetulkan mitos kesihatan rakyat Malaysia

Lagipun untuk membuktikan keberkesanan sesuatu ubat, kajian perubatan perlu dijalankan selama bertahun-tahun dan melalui proses kajian di makmal hinggalah kajian manusia. Bukan sekadar bergantung pada testimoni semata-mata.

Oleh itu, saranan saya sebelum membeli supplemen atau produk, tolonglah dapatkan nasihat daripada doktor.

amalina
KERATAN artikel Dr Amalina yang pernah disiarkan dalam sisipan SinarPlus akhbar Sinar Harian pada 8 Mac 2020.

Foto: Instagram @dramalinabakri