PENGAMBILAN makan yang berkhasiat bukan sahaja penting buat kanak-kanak yang sedang membesar, tetapi golongan dewasa juga perlu mengamalkan kaedah serupa.

Hal ini kerana menurut kajian, gaya pemakanan dan tahap aktif dalam melakukan aktiviti riadah secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan individu.

Disebabkan itu, penjagaan makanan perlu diambil kira tanpa mengira sama ada menikmati hidangan di kedai atau menyediakannya sendiri.

Berdasarkan laporan laman web hsph.harvard.edu, penyediaan hidangan penting terutama apabila melibatkan penggunaan bahan dalam makanan seperti gula, garam dan perasa.

Oleh itu, SinarPlus kongsikan teknik pemakanan seimbang bagi membantu kita untuk kekal bertenaga dan pada masa sama dapat menjaga kesihatan:

1. Sayur dan buah

Perkara mudah yang boleh diamalkan ialah dengan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pada jumlah setengah pinggan hidangan.

Sebaiknya ambil sayuran daripada pelbagai jenis warna. Namun, harus diingat! Kentang tidak diambil kira sebagai makanan sihat kerana ia berpotensi untuk memberi kesan negatif terhadap paras gula dalam darah.

2. Bijirin penuh

Ambil makanan bijirin penuh pada jumlah suku pinggan hidangan. Ambil produk bijirin penuh seperti beras perang, oat dan kuinoa. Amalan makanan sebegini dapat mengawal kadar gula dalam darah berbanding roti dan nasi putih.

3. Protein

Iklan

Selain pengambilan sayur, buah dan bijirin penuh, kandungan protein juga perlu ada dalam hidangan. Disarankan, sumber protein seperti ikan dan kekacang diambil sebanyak suku pinggan hidangan.

Kurangkan pengambilan daging merah dan sebaiknya elakkan daripada pengambilan makanan berproses seperti sosej.

4. Air putih

Iklan

Sebaiknya kurangkan kekerangan minum air manis dalam sehari. Pada masa sama, hadkan pengambilan produk tenusu sekitar satu atau dua hidangan sehari. Sebaiknya minum air putih pada setiap hari sekitar dua liter.

Secara ringkas, makan hidangan sihat penting untuk kesihatan. Tidak menjadi salah sekiranya sesekali terasa teringin untuk makan makanan segera, tetapi harus dihadkan kekerapan pengambilan.

Pada masa sama, lakukan aktiviti riadah seperti senaman, berlari atau berbasikal. Sekiranya perkara tersebut dirasakan sukar, boleh lakukan aktiviti lain seperti berjalan sekitar 30 minit satu satu jam sehari.