BIARPUN perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal bagi memerangi penularan Covid-19, nampaknya ia sedikitpun tidak menghalang para artis bergaya sakan.

Situasi tersebut dapat dilihat pada Anugerah MeleTOP ERA 2020 (AME 2020) yang berlangsung malam tadi.

Barisan selebriti yang hadir menjayakan acara tersebut tampak anggun dan segak apabila melintasi karpet merah dalam pelbagai persalinan busana dan konsep solekan.

Hasil pemerhatian SinarPlus sebahagian besar baik penyanyi, pelakon mahupun pengacara lebih cenderung memilih fesyen nuansa hitam.

Antaranya ialah Che Puan Juliana Evans, Aina Abdul, Erni Zakri, Uyaina Arshad, Siti Nordiana, Sarah Suhairi dan Uqasha Senrose termasuk Kamal Adli dan Syafiq Kyle.

kamal uqasha
PELAKON, Kamal Adli dan kekasihnya, Uqasha Senrose antara selebriti yang menggayakan busana berasaskan rona hitam pada AME 2020.

Lagipun, dalam konteks fesyen warna hitam tidak pernah ketinggalan zaman. Nuansa itu, sering diangkat menjadi pilihan utama item fesyen bermula pada musim sejuk, luruh, bunga sehingga musim panas.

Menurut pereka dan perunding fesyen serta pensyarah kanan di Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Shah Alam, Faizal Hamid, pakaian berasaskan warna hitam bukan sahaja membantu menjadikan bentuk badan kelihatan menarik dan langsing, malah berupaya menyembunyikan kekurangan fizikal dimiliki.

“Jika bijak menggayakannya bersama aksesori dan pelengkap gaya pilihan, wanita berpeluang kelihatan kontemporari, muda dan segar.

“Jadi bukan sesuatu yang menghairankan apabila wanita Malaysia menyifatkan hitam adalah warna selamat sehingga mendorong mereka menyarungkan busana nuansa terbabit (hitam) tatkala menghadiri majlis rasmi ataupun kasual,” katanya kepada SinarPlus pada sesi temu ramah sebelum ini.

Iklan

Tambah Faizal, rona hitam ironinya trend klasik malar segar yang sentiasa mendominasi wanita dan jejaka dalam pilihan pakaian.

Justeru, segmen Sihat Cantik kali ini berkongsi antara fesyen nuansa hitam para selebriti pada AME 2020.

 

Iklan
ame 2020
FAIZAL menyifatkan warna hitam membantu menjadikan bentuk badan kelihatan menarik dan langsing serta malar segar sepanjang tahun. Buktinya, lihatlah penampilan anggun Sarah Suhairi (kiri) dan Uyaina.

 

anugerah meletop era
ERNI ZAKRI anggun menggayakan busana koleksi Amaze manakala Aina Abdul pula dres ekstravaganza karya Wan dan Mary.

 

Artikel berkaitan: Ledakan kuasa nuansa hitam putih buat siluet lebih langsing