SEMPENA HARI HIJAB SEDUNIA

BERSAMA
Pelakon, jurucakap dan usahawan
Memey Suhaiza

SOALAN 

ADAKAH Memey berpendapat berhijab menghalang wanita hijabi moden untuk tampil cantik dan bergaya? 

Selain itu, lazimnya kaum Hawa yang memakai tudung sering dikaitkan dengan masalah rambut gugur, kelemumur, berbau hapak dan kulit kepala gatal.

Justeru, bagaimana Memey menjaga kesihatan rambut? Adakah dengan menjalani rawatan di salun atau melakukannya sendiri di rumah?

– AFIQAH MOHD, KUALA KANGSAR, PERAK

JAWAPAN:

memeySECARA peribadi, jangan sesekali mempunyai tanggapan kurang manis pada pemakaian hijab. Selain itu, persepsi bahawa tindakan menyarungkan tudung akan membataskan wanita untuk tampil cantik dan bergaya juga harus ditepis.

Paling penting, apakah matlamat utama kita berhijab? Tanamkan niat supaya menjadi Muslimah yang menutup aurat mengikut syariat.

Ingat ya, sekiranya memasang niat yang salah, bimbang kelak hati berbolak-balik dan tidak istiqamah. 

Apabila niat tersebut cuba disempurnakan dengan baik, maka barulah saya memikirkan stail hijab pilihan yang serasi dalam kehidupan harian.

Lagipun hidup dalam dunia serba modenisasi ini, segala-galanya berada pada hujung jari. 

Bayangkan, dengan bantuan internet, saya berpeluang mempelajari pelbagai tutorial lilitan hijab yang dimuat naik menerusi laman sosial dan saluran YouTube.

Kebiasaannya, saya akan memilih gaya stailo berlandaskan syariat Islam. 

memey
IBU kepada tiga cahaya mata itu gemar menerapkan konsep suai dan padan hijab dengan busana pilihan.

Dalam pada itu, Memey juga gemar bereksperimentasi dari segi warna mengikut mood pada hari tersebut. Kadangkala mengenakan hijab warna pastel.  

Bagaimanapun, sekiranya hari itu saya ceria dan semangat luar biasa, maka warna terang menjadi pilihan utama.

Ironinya, tidak sukar untuk memilih warna tudung. Langkah awal yang perlu dilakukan adalah dengan mengenali personaliti diri. 

Iklan

Kemudian, memahami cita rasa nuansa diminati dan mengenal pasti warna-warna hijab yang bersesuaian dengan jenis kulit wajah.

Saranan Memey, lebih baik para hijabi bermain dengan kreativiti sendiri. Jangan terlalu obses mengikut orang lain, maklumlah setiap individu berbeza dari segi bentuk muka dan sifatnya.

Jika bingung mencari padanan warna tudung dan busana ideal, maka teknik memilih rona boleh dipelajari menerusi carian enjin Google.

Percayalah, sekiranya kita kreatif suai dan padan ia akan membuatkan penampilan lebih yakin dan menawan.

memey
MEMEY yang merupakan isteri kepada pelakon, Norman Hakim lebih cenderung bergaya dalam persalinan rona putih.

Susulan faktor tersebut, Memey lebih cenderung memilih persalinan seperti blaus, jubah atau dres labuh polos warna putih. Boleh dikatakan saya memiliki koleksi baju rona putih berbanding warna-warna lain.

Iklan

Mengapa? Ini disebabkan, pakaian warna berkenaan bukan sahaja membuatkan penampilan kelihatan bersih, malah ia memudahkan saya menggayakan bersama koleksi hijab warna kontra bermotif flora atau abstrak.

Misalnya, menerapkan konsep suai dan padan blaus putih bersama denim dengan tudung bercorak warna biru terang.

Namun begitu, nasihat saya kepada wanita bertudung, jangan terlalu menitikberatkan soal fesyen hijab sehingga penjagaan dan kesihatan rambut diabaikan.

memey
SELEBRITI cantik ini menasihatkan wanita bertudung sentiasa menjaga kesihatan rambut.

Seperti yang kita sedia maklum, kaum Hawa yang memakai tudung sering mengalami masalah rambut gugur, kelemumur, berbau hapak dan kulit kepala gatal. Saya juga tidak terkecuali.

Justeru, Memey akan memastikan sebulan dua kali menjalani rawatan di salun, sementelah hari lain melakukan rutin penjagaan rambut asas seperti memakai syampu dan perapi di rumah.

memeySebagai wanita kita seharusnya menjaga perkara seumpama ini. Jangan biarkan rambut tidak dicuci dalam tempoh yang lama sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan.