SECARA etimologinya, fesyen atau dalam bahasa Latinnya, factio merupakan satu istilah yang cukup luas dan terlalu subjektif untuk dinilai.

Fesyen dikatakan bukan sahaja tertakluk kepada gaya berpakaian, tetapi mempunyai hubungan rapat dengan aksesori, gaya rambut, kosmetik yang menunjang kepada penampilan seseorang individu.

Dalam masyarakat kontemporari Barat, istilah fesyen cenderung didefinisikan sebagai dandanan, gaya, dan busana. Seperti semua maklum, mereka telah memonopoli industri itu dengan memusat dan menghimpunkan pereka fesyen di New York, Amerika Syarikat; Milan, Itali; Paris, Perancis dan London, United Kingdom.

Kebanyakan trend baharu dari segi rona, material, stail, tekstur, cetakan, malahan stail bermula dan muncul dari kota-kota hebat itu.

Pun demikian, pereka fesyen hanya menawarkan beragam desain, tetapi akhirnya kesemuanya bergantung kepada selera konsumer.

Bagi SinarPlus, elemen yang paling signifikan yang perlu dalam fesyen adalah dari segi seleksi rona warna dan penataan gaya.

Seperkara, tidak semestinya hanya kerana busana itu daripada jenama yang mewah, ia sesuai kepada si pemakainya. Adakalanya, pakaian yang murah lebih menyerlahkan keterampilan. Pendek kata, jangan menjadi mangsa fesyen.

Ya, sejak setahun dua kebelakangan ini, dunia fesyen sedikit muram. Bagaimanapun, situasi tersebut tidak menjejaskan pemain industri fesyen untuk terus ‘beraksi’ dengan menghasilkan rekaan terkini bersesuaian dengan cita rasa ramai.

Kali ini apa idea yang dicurahkan oleh pereka fesyen antarabangsa? Setelah diperhalusi, nampaknya mereka mengetengahkan asimilasi rona terang bersama pastel selain turut menampilkan gaya monokrom, ‘manisnya’ flora dan disko retro. Kriteria mana satu yang menjadi pilihan gaya anda?

Bagi memperincikan lebih lanjut, berikut SinarPlus senaraikan gaya yang mendominasi pentas fesyen pada tahun ini menurut portal L’Officiel:

1.  Gaya monokrom

Gabungan warna hitam dan putih sentiasa menjadi pilihan. Bukan sahaja mudah untuk digayakan pada semua jenis acara, tetapi gabungan dua warna tersebut dapat menyerlah pesona individu yang memakai. Jika pembaca SinarPlus perasan, elemen monokrom dilihat begitu sinonim dengan jenama popular antarabangsa, Chanel.

2. Blazer dan kot trenc

Tidak mengira sama ada blazer atau kot trenc (trenchcoat), kedua-duanya mempunyai daya tarikan tersendiri, selain menampilkan impak imej yang berbeza. Ada yang berpendapat, penampilan dengan gaya padanan bersama blazer atau trenchcoat kelihatan sedikit formal, tetapi pada masa sama turut memberikan refleksi kasual.

Iklan

3. Skirt flare

Pemakaian jenis ini sesuai untuk digayakan pada musim luruh kerana tidak begitu sarat dan memudahkan pergerakan. Ia juga menyerlahkan gaya feminin dan memberi sentuhan santai. Pada masa sama, skirt flare yang memiliki corak flora berpotensi menyerlahkan ciri-ciri kewanitaan seseorang wanita, ditambah pula dengan rona pastel yang semestinya menjadi kegemaran dalam kalangan kaum Hawa.

4. Motif flora

Busana yang bermotif flora ini sangat sesuai untuk digayakan terutama saat menghabiskan waktu bersama teman-teman atau keluarga. Kehadiran unsur tropika yang elegan secara automatik menghadirkan suasana ceria dan romantis, sekali gus menjadi daya penarik pada diri seseorang, apatah lagi diserikan dengan rona terang.

Iklan

5. Seluar kaki lebar

Boleh dikatakan hampir setiap tahun konsep seluar kaki lebar sentiasa mendapat perhatian wanita untuk menggayakannya pada acara formal atau kasual.  Faktor usia juga bukan menjadi ukuran kerana potongan seluar sebegini selesa untuk dipakai.  Memiliki potongan yang sedikit longgar, seluar kaki lebar sesuai untuk dipadankan dengan blaus renda, baju-T atau blazer.  Percaya atau tidak, gaya sebegini dikatakan menjadi trend fesyen pada musim bunga dan panas.

6. Percikan kemilau labuci

Menjadi salah satu gaya yang popular pada tahun ini. Gaya disko ala retro ini dikatakan sangat sesuai buat mereka yang gemarkan kilauan pada pakaian mereka. Penampilan sebegini menjadikan seseorang wanita lebih menyerlah berbanding yang lain.