PENAMPILAN merupakan perihal yang sering menjadi tumpuan apabila memasuki usia 30-an. Pada tangga usia itu, ada antara kaum Hawa mula berasa gelisah sekiranya muncul garis-garis halus pada wajah.

Wanita juga bahkan perlu berdepan dengan kadar hormon yang menghasilkan kolagen dan elastin yang mulai menurun.

Memetik daripada majalah kesihatan wanita, Women’s Health Magazine, pertumbuhan sel kulit menjadi semakin perlahan pada usia 30-an dan ini menyebabkan kulit tidak sekenyal dahulu.

Tambah majalah itu lagi, tanda-tanda awal penuaaan juga mula ‘terserlah’ pada usia ini.

Disebabkan itu, penjagaan kesihatan dengan mengamalkan makanan anti-penuaan boleh dijadikan sebagai langkah rawatan selain penggunaan produk kosmetik atau rawatan wajah.

Berikut SinarPlus kongsikan senarai makanan sihat yang dipercayai dapat membantu untuk mengekalkan kejelitaan dan melambatkan proses penuaan:

1.Tembikai

Bagi penggemar buah tembikai, ini berita baik untuk anda! Memiliki kandungan air yang tinggi, buah tembikai juga kalsium, potasium, dan vitamin C, K dan E.

Segalanya ini diperlukan untuk membantu kulit agar mengekalkan kelembapan.

Tembikai juga memiliki kelebihan sebagai antioksidan yang menghalang berlakunya kerosakan sel kulit.

2.Lobak merah

Memiliki khasiat seperti antioksidan, potasium dan beta-koraten yang dapat membantu melawan radikal bebas. Lobak juga dapat membantu mengatasi masalah kulit berjerawat.

3.Coklat hitam

Kadar metabolisma mulai penunjukkan perbezaan ketika berusia 30-an jika dibandingkan sewaktu umur 20-an. Pada waktu sebegini, wanita turut berdepan dengan masalah kesukaran penurunan berat badan.

Oleh itu, pengambilan coklat hitam yang mengadungi kadar antioksidan yang tinggi dapat membantu untuk mengekalkan berat badan dan melambatkan proses penuaan.

Iklan

Kajian mendapati, kandungan antioksidan yang ada pada coklat hitam dapat meningkatkan aliran darah dan mengekalkan kelembapan kulit.

4.Tomato

Kandungan vitamin C yang ada dalam tomato dapat membantu menghasilkan kolagen baru sekali gus menganjalkan kulit wajah.

Memiliki kelebihan antioksidan yang mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari termasuk radikal bebas.

Iklan

5.Bayam

Sayur bayam kaya dengan kandungan vitamin E dan A yang dapat membantu pemulihan sel kulit wajah.

Di samping itu, kandungan asid folik berfungsi untuk merawat kesihatan sel termasuk sel kulit.

Oleh itu, amalan pemakanan sihat banyak memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan tubuh badan termasuk kulit wajah.

Bagi yang kurang tertarik kepada makanan sayur-sayuran dan buah-buahan, pada waktu ini anda perlu mengubah sikap tersebut dan praktikkan gaya hidup sihat dengan menggunakan bahan semula jadi.