MEMILIKI kulit wajah bebas cela pastinya menjadi dambaan kaum Hawa. Bukan sahaja menyerlahkan pesona penampilan, memiliki kulit wajah yang sihat turut dapat membantu meningkatkan keyakinan seseorang.

Selain mengenal pasti produk yang terbaik dalam pasaran, petua yang diamalkan oleh selebriti popular juga sering menjadi ikutan.

Biasalah sudah nampaknya pun artis, pasti khalayak akan menjadikan mereka sebagai salah satu tempat rujukan tidak mengira dari segi sikap mahupun penampilan.

Oleh itu, SinarPlus kongsikan kepada anda rahsia yang diamalkan oleh lima selebriti antarabangsa yang boleh menjadi amalan kesihatan wajah:

1. Air dan tidur jangan dipisahkan!

Artis: Lea Michele

Jangan pernah sesekali abaikan waktu tidur dan pengambilan air putih. Mungkin perkara ini kedengaran klise, tetapi dua-duanya itu memainkan peranan penting pada kulit wajah. Sekiranya anda tidak percaya, boleh amalkan meminum air putih dan lihatlah perubatan pada kulit muka.

Minum air pada kuantiti yang betul boleh membantu mengurangkan masalah pencernaan dan mengelakkan daripada mengalami hidrasi. Cara mudah untuk mengetahui jumlah air yang anda perlukan dalam sehari ialah dengan cara membahagikan jumlah berat badan kepada separuh. Kemudian, minum air berdasarkan jumlah tersebut mengikut kiraan auns.

2. Makan sayur

Artis: Olivia Culpo

Rajin mencuci muka dengan menggunakan produk yang terbaik tidak menjamin untuk mendapatkan kulit wajah yang sempurna semata-mata. Pemakanan juga banyak memainkan peranan dalam soal kulit wajah. Amalan diet seimbang dengan cara pengambilan sayur-sayuran dan kurangkan memakan produk tenusu serta makanan manis.

Awalnya sukar untuk dipercayai, tetapi setelah mengamalkan teknik tersebut kulit wajah mula kelihatan cerah dan bersih. Jadi jangan lupa untuk menambahkan sayur hijau dalam hidangan menu harian.

3. Jangan stres

Artis: Cate Blanchett

Gangguan tekanan tidak mengira melibatkan soal kerja ataupun kehidupan harian sememangnya lumrah manusia. Mustahil untuk seseorang itu tidak berasa stres. Namun, terdapat pelbagai kaedah boleh diamalkan untuk mengurangkan stres. Kaedah urutan sering diamalkan bagi menghilangkan tekanan.

Tekanan bukan sahaja boleh menjejaskan emosi, malah ia juga menyebabkan berlakunya keradangan pada kuit wajah. Keadaan ini akan memburukkan dari semasa ke semasa. Oleh itu, luangkan masa untuk manjakan diri dengan melakukan rawatan spa.

4. Topeng wajah asli

Iklan

Artis: Priyanka Chopra

Kehebatan kandungan bahan asli semula jadi boleh dikatakan sebagai salah satu produk ‘sihir’ dalam usaha mencantikkan kulit wajah. Menjadikannya sebagai runtin harian, bahan seperti yogurt, bijirin oat dan kunyit dicampurkan untuk dijadikan sebagai topeng muka.

Caranya ialah dengan mengambil satu atau dua sudu campuran yogurt dan oat. Kemudian campurkan dengan satu atau dua sudu teh kunyit. Gaul sehingga sebati dan sapukan ke bahagian wajah. Biarkan sekitar 30 minit sebelum basuh dengan air suam.

Difahamkan, yogurt dan oat dapat membantu kulit untuk mengekalkan kelembapan kulit wajah, mencerahkan dan mengekalkan keanjalan.

5. Guna produk mengikut kesesuaian

Iklan

Artis: Jessica Hart

Setiap individu itu memiliki jenis kulit yang berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, kenal pasti keadaan kulit wajah dan gunakan produk mengikut jenis kulit dan waktu yang perlu digunakan. Hal ini termasuk peningkatan usia dan lokasi serta keadaan cuaca semasa.

Penjagaan wajah perlu mengikut keperluan kulit. Sebagai contoh ketika berada di luar negara seperti musim panas atau musim sejuk, produk yang digunakan harus berbeza. Perkara sama turut dilakukan apabila peningkatan usia seperti penggunaan produk anti penuaan.

Secara kesimpulannya kulit wajah memerlukan penjagaan rapi tidak mengira sama ada luaran mahupun dalaman.

Oleh itu, pastikan penggunaan produk yang betul dan jangan lokek untuk berbelanja bagi mendapatkan hasil kulit wajah jelita dan memuaskan.