SEBILANGAN wanita mula mempamerkan rasa gusar apabila sudah memasuki umur angka 30-an.

Ada yang berpendapat bahawa usia begitu sudah ‘dewasa’, selain memiliki kehidupan yang stabil tidak mengira sama ada kerjaya, kewangan atau rumah tangga.

Bukan hanya itu, tubuh juga bagaikan memberi petanda penuaan lebih-lebih pada bahagian kulit wajah.

 

Baca juga: Kuku rosak tak perlu ke spa berikut penyelesaian mudah bagi merawat kuku bermasalah

Baca juga:  Keliru nak pilih produk kosmetik terbaik berikut tip berguna yang boleh membantu

 

Memetik perkongsian CNN Indonesia, pakar kecantikan, Renee Rouleau berkata, dalam lingkungan umur 30-an, kebanyakan daripada kita berdepan dengan pelbagai jenis stres dan banyak berfikir.

Tidak hanya itu, perubahan hormon juga menyebabkan berlaku pelbagai masalah pada kulit muka.

“Pertumbuhan hormon menjadi semakin lambat dan ini menyebabkan kulit wajah yang rosak lambat untuk pulih. Jerawat pula mudah terbentuk dan sekiranya tidak dikawal, situasi ini akan berlanjutan,” terang beliau.

Disebabkan itu, wanita yang sudah menjangkau umur 30-an perlu lebih agresif dalam hal merawat kulit wajah.

Berikut perkara yang boleh dilakukan:

1. Rawatan siang, malam

Kulit wajah memerlukan keperluan berbeza di antara siang dan malam. Oleh itu, jangan lakukan rutin yang sama sepanjang hari.

Pada waktu siang, kulit wajah perlu memakai krim pelindung matahari bagi mengelakkan kulit kering.

Bukan sahaja perlu pakai ketika ingin keluar ‘main panas’, tetapi duduk di rumah menggunakan peranti pintar juga perlu menggunakan krim pelindung matahari.

Satu lagi, jangan ketinggalan untuk gunakan serum pada waktu pagi sementara malam boleh menggunakan produk retinol, peptida dan eksfoliasi termasuk krim malam.

2. Antipenuaan

Jangan tunggu umur 40-an atau 50-an baru terfikir untuk menjaga penampilan diri lebih-lebih menggunakan produk antipenuaan.

Boleh dikatakan lewat umur 20-an atau awal 30-an seharusnya sudah membiasakan diri menggunakan produk berkenaan.

Bahan seperti retinol atau retinoid baik untuk melembutkan kulit dan menghilangkan garis halus serta menghalang liang pori-pori terbuka luas.

3. Hilangkan solekan

Membersihkan wajah selepas bersolek perlu bagi melindungi kulit daripada kotoran.

Oleh itu, gunakan produk pembersih yang betul sebelum dibersihkan lagi dengan micellar water.

Iklan

Segala kotoran yang terperangkap pada kulit akan ditanggalkan dengan mudah.

Micellar water juga dapat memelihara kesihatan kulit.

4. Toner

Terdapat pelbagai jenis produk yang ada dalam pasaran. Disebabkan itu buat kajian dan keputusan bijak sebelum menggunakan sebarang jenis barangan.

Begitu juga dengan pemilihan toner yang betul.

Memasuki umur 30-an, pemakaian toner perlu bagi membersihkan ruang pori, menghilangkan racun dan seimbangkan pH kulit.

Pemakaian toner juga banyak membantu untuk memudahkan serum berfungsi dengan lebih berkesan.

5. Serum

Iklan

Antara fungsi serum adalah bagi memastikan kulit wajah tidak kering.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis serum diperlukan bagi merawat masalah kulit yang berbeza.

Serum yang mengandungi vitamin C baik untuk mencerahkan kulit, sementara retinol atau vitamin A pula berfungsi sebagai bahan antipenuaan.

Nasihat SinarPlus, jika kulit wajah menunjukkan sebarang reaksi negatif seperti tanda merah-merah atau gatal, segera dapatkan rawatan doktor.

Sebaiknya berusaha untuk dapatkan nasihat pakar bagi mengetahui keadaan sebenar kulit wajah sebelum membuat sebarang keputusan.

Dengan itu, selamat mencuba!

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram