BAGI segelintir individu, tekanan atau stres dipandang biasa seperti tiada apa-apa.

Ini kerana mereka menganggap masalah itu bersifat sementara sahaja.

Contohnya, stres ketika merempuh kesesakan jalan raya.

Menurut satu kajian psikologi, wanita dikatakan lebih cenderung mengalami tekanan kerana gemar memendam perasaan, selain ditambah dengan perasaan rendah diri sehingga menyebabkan mudah hilang kawalan.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kaum Hawa mendominasi masalah kemurungan 5.1 peratus lebih tinggi berbanding lelaki (3.6 peratus).

Pelbagai perkara boleh dikaitkan dengan masalah tekanan dalam kalangan wanita.

Antaranya disebabkan perubahan hormon, pernah merentas pengalaman yang getir atau tekanan daripada individu sekeliling.

Apabila menyedari kehadiran individu sebegini di dalam komuniti, kita seharusnya tidak mengabaikan apatah lagi meminggirkan mereka.

Beri sokongan dengan kata-kata semangat atau meluangkan masa untuk berkongsi cerita.

Sokongan daripada ahli keluarga atau kenalan terdekat penting buat individu yang stres.

Pun demikian, individu itu sendiri juga perlu mengambil berat tentang dirinya sendiri.

Justeru, berikut SinarPlus senaraikan saranan Pakar Perunding Gaya Hidup Amerika Syarikat, Jasmine Stringer tentang cara memanjakan diri kita sekiranya berasa tertekan:

Iklan

1. Penjagaan diri.

  • Penampilan sering dikaitkan dengan personaliti seseorang. Oleh itu, penjagaan penampilan seperti kesihatan kulit, pengambilan makanan sihat perlu dipandang serius.
  • Sekiranya berkesempatan, luangkan masa manjakan diri di spa atau melakukan rutin kecantikan menggunakan bahan semula jadi seperti masker timun atau tomato di rumah.

2. Melakukan senaman.

  • Aktiviti riadah bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan badan, malah ia turut menjadi salah satu cara untuk membebaskan tekanan.
  • Menjadikan aktiviti riadah lebih menarik, lakukan bersama ahli keluarga atau kenalan.
  • Sekiranya ingin melakukan senaman di gimnasium, dapatkan khidmat nasihat daripada pakar bagi mengelakkan anda tercedera sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Iklan

3. Coklat.

  • Tidak dinafikan coklat merupakan antara makanan yang digemari oleh ramai orang.
  • Menurut kajian Pakar Kimia Jerman, Justus Von Liebig, coklat merupakan makanan yang sempurna untuk memulihkan tenaga selain rasanya yang enak.
  • Coklat juga dikatakan dapat merembeskan hormon endorfin ke dalam otak sekali gus merangsang emosi gembira.
  • Cara sebegini baik untuk mengatasi masalah tekanan atau kemurungan secara semula jadi.
  • Pengambilan coklat pahit berwarna hitam adalah digalakkan kerana ia masih tidak bercampur dengan zat tambahan lain kerana mengandungi 70 hingga 85 peratus koko.
  • Kaya dengan antioksidan seperti polifenol, flayanol dan catechin baik untuk melindungi sel tubuh daripada radikal bebas.

Diharapkan perkongsian SinarPlus ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang mungkin bergelut dengan masalah tekanan.

Jangan biarkan diri anda terus diselubungi dengan aura negatif.

Seperkara, sentiasalah beristighfar, membasahkan lidah dengan membaca al-Quran dan sentiasa melakukan amalan mulia yang mendekatkan diri kita dengan al-Quran. Insya-ALLAH segala masalah akan selesai.