MASALAH jerawat atau muka breakout boleh menyebabkan gangguan emosi dan menghilangkan keyakinan terutama saat ingin keluar rumah.

Bagi mengatasi masalah tersebut, penjagaan kulit wajah perlu diberi perhatian terutama melibatkan perkara yang boleh dan tidak.

Menurut Pakar Dermatologi dan Pengasas Entiere Dermatology New York, Amerika Syarikat, Dr Melissa K. Levin, banyak perkara boleh dikaitkan dengan pertumbuhan jerawat pada wajah.

“Perkara yang perlu diambil perhatian apabila anda ingin mencuci muka. Paling penting jangan pernah abaikan atau malas untuk membersihkan muka pada waktu pagi.

“Pastikan juga sisa solekkan tidak tertinggal pada kulit wajah dan berada dalam keadaan kering selepas dicuci sebelum tidur,” katanya.

Beberapa kaedah lain turut dikongsikan beliau dan boleh diamalkan bagi memastikan wajah kekal sihat dan bebas cela yang dipetik daripada laman web Seventeen.com;

1. Pelembab wajah

Sebelum membeli atau menggunakan pelembab wajah, kenal pasti jenis kulit sama ada berminyak, kering atau sensitif.

Jika masih ragu-ragu, dapatkan nasihat pakar bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini atau kesan jangka masa panjang.

2. Eww!Skrin telefon bimbit kotor!

Biarpun dilihat remeh, tetapi permukaan telefon yang kotor boleh menyebabkan berlakunya pertumbuhan jerawat.

Memandangkan anda kerap memegang telefon dengan menggunakan tangan selain boleh dikatakan membawanya ke mana sahaja meskipun ke dalam tandas.

Bayangkan berapa banyak bakteria yang telah ‘hidup’ di atas permukaan telefon anda tanpa sedar.

Oleh itu, sebaiknya bersihkan atau lap bahagian permukaan telefon atau skrin dengan menggunakan tisu antibakteria beberapa kali sehari.

3. Berhenti! Berhenti! Berhenti!

Ketika berasa bosan atau ingin berehat seketika, anda mungkin akan meletakkan tangan menongkat dagu atau berbaring di atas lengan.

Iklan

Sedarkah bahawa perbuatan anda itu boleh menyebabkan wajah terdedah kepada bakteria dan kotoran yang tidak diketahui. Jadi, jangan memegang permukaan wajah sesuka hati. Ingat!

4. Berus wajah

Secara logik, mustahil untuk membersihkan bahagian pori wajah dengan menggunakan jari. Disebabkan itu, sebaiknya gunakan alat pembersih wajah.

Bahagian berus halus pada alat tersebut bukan sahaja boleh membersihkan kotoran wajah, malah getaran yang dihasilkan juga dipercayai dapat melancarkan aliran darah pada bahagian muka.

5. Jangan malas! Tolonglah!

Iklan

Kebersihan kulit wajah bukan hanya bergantung kepada penggunaan produk kosmetik terbaik, tetapi tahap kerajinan juga penting.

Selain daripada meluangkan waktu untuk membersihkan wajah dan memakai pelembab, permukaan persekitaran seperti sarung bantal juga perlu dibersihkan.

Sebaiknya kerap membersih ruangan tempat tidur dan menggantikan sarung bantal dan selimut dengan kerap terutama bagi yang memiliki kulit sensitif.

Secara kesimpulan, sikap individu itu sendiri memainkan peranan penting untuk memiliki fizikal tubuh badan yang sihat.