MEMILIKI kulit seperti remaja meskipun sudah mencecah usia 40-an atau 50-an memang menjadi idaman semua wanita.

Zaman yang silih berganti menyaksikan impian itu tidak sukar untuk direalisasikan.

Sememangnya lambakan teknologi moden mahupun produk yang membantu melambatkan proses penuaan tidak mengira sama ada dalam bentuk makanan tambahan atau rawatan memang banyak.

Namun, mana satu yang perlu dipilih dan persoalannya adakah ia selamat digunakan dan betul-betul berkesan?

Portal kompas.com baru-baru ini mencadangkan pendekatan yang lebih efisien dan sihat dengan mencuba menu hidangan yang sihat berbanding menggunakan produk yang lazimnya mengandungi bahan kimia.

Kongsi laman web itu, terdapat hidangan yang memiliki kadar kolagen tinggi sekali gus baik untuk memperbaiki struktur kulit dan mengembalikan keanjalan khususnya kepada kaum wanita.

“Tanpa perlu berbelanja banyak di pusat rawatan, anda boleh mendapatkan kandungan kolagen asli hanya dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat,” kata kompas.com.

Berikut SinarPlus senaraikan makanan yang tinggi kolegen yang boleh sama-sama kita praktikkan:

1. Ikan dan kerang

  • Bagi mereka yang tidak tahu, tulang ikan dan kerang mempunyai kandungan kolagen tinggi kerana tulang-tulang itu juga terbuat daripada kolagen sendiri.
  • Difahamkan kandungan kolagen dalam ikan lebih tinggi dan mudah didapati. Justeru, bagi yang tidak gemar makan ikan, anda perlu fikir dua kali dan lebih baik mencubanya sekarang. Namun, yang alah kepada ikan, kita boleh cuba pendekatan lain.

2. Ayam

  • Daging putih daripada ayam mengandungi banyak khasiat.
  • Ayam merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kolagen sehingga dijadikan sebagai bahan untuk rawatan masalah penyakit keradangan tulang.

3. Putih telur

  • Biarpun kecil, namun jangan pandang sebelah mata.
  • Putih telur juga mempunyai kandungan kolagen tinggi kerana memiliki asid amino yang bertindak bagi membantu pembentukan kolagen pada bahagian urat, sendi dan otot jantung.

Iklan

4.Buah beri

  • Buah-buahan yang tergolong dalam kumpulan beri mengandungi vitamin C yang tinggi.
  • Dikatakan kandungan vitamin C bagi sebiji buah rasberi atau beri biru mahupun beri hitam sudah memadai dengan 28 gram buah strawberi.
  • Kandungan antioksidan yang tinggi baik untuk melindungi sel kulit daripada rosak.

5. Bawang putih

  • Pengambilan bawang putih dapat meningkatkan kadar produktiviti kolagen dalam badan.
  • Mengandungi sumber mineral yang membantu membentuk sebatian dalam tubuh dan mencegah kerosakan kolagen.
  • Amalkan makan bawang putih secara rutin dengan jumlah yang minimum.
  • Sekiranya diambil pada kadar yang banyak, anda mungkin terdedah kepada masalah perut memulas, radang perut atau meningkatkan risiko pendarahan jika sedang mengambil ubat melancarkan darah.

6. Kacang

Iklan
  • Kandungan protein yang tinggi menjadikan kacang sebagai salah satu sumber asid amino yang bertindak menghasilkan kolagen dalam badan.

Lihat, pelbagai jenis makanan yang memiliki kolagen yang membantu dalam penjagaan sel kulit, selain kelihatan kekal awet muda.

Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat dan membantu anda.

Bagaimanapun perkara paling penting adalah amalkan gaya hidup sihat dan jauhi aktiviti yang dapat mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri.

Selamat beramal 🙂