BIBIR mungil Datin Seri Maria Farida Atienza tersenyum simpul, sementelah kepalanya beberapa kali mengangguk lembut tatkala mendengar soalan yang diajukan penulis pada petang Khamis lalu.

Sebelum menuturkan jawapan berhubung ketidakpercayaan warganet terhadap kecantikan asli dimilikinya, wanita yang mesra disapa Maria Farida itu diam seketika.

Enggan membiarkan penulis menunggu lama, model dan pelakon berkulit cerah gebu tersebut menzahirkan kata-kata.

“Biarpun sudah banyak kali mengulas mengenai perkara ini, netizen masih tidak percaya. Mereka tetap memerli dan melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Sejujurnya, sehingga kini saya tidak pernah menjalani sebarang prosedur rawatan moden baik suntikan botoks mahupun pembedahan plastik.

“Kadangkala malas nak ambil pusing. Penat untuk menjelaskan perkara yang sama kerana mereka tetap tidak percaya,“ luah Maria Farida ketika ditemui SinarPlus pada Majlis Pelancaran Produk Lucol-S di Cyberjaya minggu lalu.

Bicara duta produk jenama Lucol-S itu, sehingga pada satu tahap, beliau mengambil keputusan untuk tidak membalas mesej para pengikut menerusi laman sosial yang majoriti memintanya berkongsi spesifik klinik dikunjungi untuk melakukan pembedahan kosmetik.

“Bukan tak nak membantu, tetapi saya sendiri tiada jawapan bagi soalan terbabit kerana tidak pernah melakukan pembedahan kosmetik. Pertama, saya takut jarum. Kedua, mengapa perlu mengubah ciptaan ALLAH, bukankah DIA telah menjadikan wajah manusia sebaik-baiknya? Tugas kita hanya perlu menjaga dan grooming untuk kelihatan menawan.

“Lagipun berdasarkan pengalaman orang sekeliling, saya melihat individu yang melakukan suntikan botoks misalnya, telah hilang seri wajah asli. Walaupun tersenyum, otot muka tampak tegang dan pelik,“ ujar beliau yang lebih selesa mengamalkan rejim kecantikan secara semula jadi dan selamat.

Penampilan wanita berdarah campuran Filipina (sebelah bapa) dan Melayu (sebelah ibu) itu memang indah untuk dipandang.

Sekali pandang, kecantikan dan sosok tubuhnya tidak ubah persis wanita muda berusia era 30-an. Namun begitu, siapa sangka Maria Farida kini sedang bahagia meniti usia 51 tahun pada tahun ini.

maria farida
SIAPA sangka kejelitaan dan babyface dimiliki Maria Farida diwarisi ibu tersayang.

“Alhamdullilah, mungkin kelebihan dimiliki adalah faktor genetik yang diwarisi daripada ibu dan nenek yang mana wajah mereka juga kelihatan awet muda walaupun telah berusia.

“Tidak dinafikan, ada berpendapat saya kategori wanita yang 24 jam sentiasa berhias dan melawa. Paling tidak pun, kerap menghabiskan sejumlah wang mengunjungi spa. Persepsi itu tidak benar, sedangkan saya sendiri tidak mempunyai rejim kecantikan khusus seperti wanita lain.

“Ini disebabkan memiliki kulit wajah jenis sensitif menjadi kekangan utama untuk saya mengaplikasi variasi produk kosmetik. Justeru, setiap hari rutinnya hanya membersihkan wajah dan memakai krim pelembap,“ jelas Maria Farida yang hanya mengoles solekan apabila berada di set penggambaran ataupun menghadiri majlis-majlis tertentu sahaja.

Diet IF

maria farida
KEKAL JELITA. Bagaikan tiada perubahan gaya Maria Farida pada awal kemunculan dalam bidang seni (kiri) dengan penampilan terkini.

Sementara itu, diajak berbicara rahsia diet yang diamalkan sehingga berjaya mengekalkan bentuk badan ramping bak anak dara, Maria Farida tersipu malu.

“Tiada pemilihan sajian tertentu. Saya seorang pencinta makanan dan kuat makan. Hidanglah apa sahaja, jarang saya menolaknya. Bukan sahaja menu utama, malah saya juga penggemar manisan seperti coklat dan wajib menikmati kopi setiap hari,“ jelas Maria Farida yang bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Rahman Shakur sejak lima tahun lalu.

Pun begitu, beliau yang mula menyertai kelas modeling pada usia 16 tahun memberitahu, pada sebelah siang, tiada sekatan untuk menikmati seleksi makanan.

Cuma sekitar pukul 7 malam, Maria Farida akan berhenti makan dan mengisi perut semula pada keesokkan harinya.

“Memandangkan saya dan makanan sukar dipisahkan, bagi memastikan berat badan tidak naik mendadak saya amalkan pelan diet IF (Intermittent Fasting).

“Menerusi diet ini, saya bebas makan apa sahaja, tetapi akan berhenti sebelum 8 malam. Kemudian akan makan kembali pada pukul 12 tengah hari esoknya. Jika terasa lapar pada waktu malam, secawan teh hijau atau buah-buahan dijadikan kudapan,” jelas beliau yang pernah mengalami kenaikan berat badan mencecah 55 kilogram (kg) pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan beberapa bulan yang lalu.

Bagaimanapun, pelakon filem Bisikan Cinta itu kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya mencapai kembali berat badan ideal, 51kg selepas mengamalkan pelan diet IF dan pengambilan kolagen secara konsisten.

Iklan

Secara ringkas, diet IF atau puasa berkala membantu individu mengawal berat badan dan mengelakkan daripada terkena penyakit berisiko seperti kanser dan jantung.

Selain Maria Farida, selebriti tempatan Lisa Surihani turut mengamalkan pelan diet yang sama termasuklah artis antarabangsa seperti Jennifer Lopez dan Beyonce. 

Kepentingan kolagen

Seperti yang sedia maklum, semakin berusia seseorang itu, maka berkurangan tahap kolagen dalam badan terutama mereka yang menginjak usia 40 tahun ke atas. Sebanyak 70 peratus sahaja kandungan kolagen tertinggal di dalam kulit dan jumlah berkenaan akan menurun sedikit demi sedikit selari dengan pertambahan usia. 

Justeru, apabila kolagen hilang, ia akan menyebabkan struktur kulit berkedut dan tidak tegang selain berdepan masalah penuaan, garis-garis halus, kulit wajah menjadi kasar dan sakit sendi.

Maria Farida mengakui, beliau juga tidak terkecuali berhadapan situasi seperti itu. Menyedari diri sudah melepasi fasa pertengahan umur, maka ibu kepada Mizan Ashley, semakin peka dan sangat menitikberatkan perihal kecantikan wajah dan kondisi tubuh badan.

maria farida
MARIA FARIDA teruja dilantik menjadi duta produk kecantikan dan kesihatan.

“Biarpun perlu ‘melabur‘ agar tampak menawan apabila keluar di kaca televisyen, prinsip penjagaan diri saya masih sama. Rawatan kecantikan secara natural tetap menjadi pilihan utama.

Iklan

“Ya, memahami kepentingan kolagen khususnya buat golongan wanita yang sedang meniti usia 50-an, saya lebih cenderung mempertingkatkannya dalam bentuk minuman berbanding suntikan.

“Menerusi kaedah ini (minum), kulit badan tidak terseksa dengan cucukan jarum. Lagipun konsepnya mudah, biar proses lambat, asalkan selamat,“ tutur beliau yang memilih minuman kolagen jenama Lucol-S.

Maria Farida menyifatkan dalam tempoh sebulan mengamalkan produk kesihatan berasaskan esktrak zaitun, acar beri dan beri camu-camu itu, beliau melihat perubahan positif pada kulit wajahnya.

“Masalah pigmentasi dapat diatasi dengan baik memandangkan penghasilan kolagen semakin bertambah dalam badan. Lebih mengujakan, parut-parut kecil pada wajah pun hilang. Kulit pula semakin bersih dan berseri,“ ujar beliau yang anggun dalam persalinan gaun glamor koleksi Altelia Amani.

MARIA FARIDA
PADA usia 51 tahun, Maria Farida sedang meniti kebahagiaan bersama suami dan anak-anak. Jika tidak ke lokasi penggambaran beliau lebih selesa berada di kediaman menguruskan rumah tangga.

Sebelum menamatkan bicara, wanita yang murah menguntumkan senyuman manis itu menambah: “Walaupun dua kali sehari menikmati minuman kolagen, namun saya tetap mengutamakan pemakanan sihat, minum air putih dan sentiasa berusaha mendapatkan tidur yang cukup.

“Selain itu, jangan sesekali gusar dengan pertambahan usia. Apabila kita sentiasa bersedia melewati fasa tua, jiwa dan hati akan bahagia, sekali gus banyak hal dapat dinikmati dengan positif.“

Artikel berkaitan: 50 tahun namun kekal jelita, Maria Farida kongsi rahsia kecantikan