ADA di antara kita yang terlalu sensitif dengan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana dikata boleh menyebabkan angin dan urat menjadi kembang.

Sebenarnya, kata Dr Fatimah Salim, jenis tumbuhan seperti nangka, sukun, tarap, kekacang (legumes) dan yang seangkatan dengannya mengandungi bahan kimia dari kumpulan karbohidrat.

“Ia seperti raffinose, stachyose dan verbascose yang tidak boleh dicerna oleh tubuh manusia kerana kekurangan atau ketiadaan enzim alfa-galactoside.

“Keberadaan enzim berkenaan adalah bergantung kepada genetik dan peningkatan usia. Oleh itu, usahlah hairan jika dulu kita makan tiada masalah dan kini mudah terkesan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, disebabkan ketiadaan enzim khusus, maka tugas pencernaan akan diambil alih oleh bakteria yang ada dalam usus besar kita melalui fermentasi.

Terangnya, semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana.

“Gas tersebut kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut,” tambah beliau.

Sekiranya gas itu tidak dikeluarkan, ia akan terus terkumpul atau terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’.

“Harus diingat ‘angin’ adalah ‘benda asing’ yang berada dalam badan.

“Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain,” ungkap Dr Fatimah.

Tambahan pula, ketidakseimbangan kimia badan itu akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu.

“Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’, katanya.

Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (self-healing).

Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.

Iklan

“Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut, ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin, ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semula jadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi,” jelas Dr Fatimah.

Pun begitu, sesetengah orang tidak mengalami masalah ‘angin’ disebabkan mempunyai enzim alpha-galactoside yang cukup atau memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.

Jadi, berikut tip untuk sistem penghadaman yang baik:

1) Amalkan senaman yang bersesuaian untuk mengaktifkan sel-sel badan termasuklah dalam sistem penghadaman. Bakteria yang baik sukakan badan yang sihat untuk ditumpang (win-win situation).

2) Kunyah makanan lama-lama untuk mengecilkan saiz makanan. Air liur mungkin mengandungi enzim alpha-galactoside yang boleh membantu dalam proses penguraian bahan kimia karbohidrat ini dan mengurangkan fermentasi oleh bakteria dalam usus besar.

Iklan

3) Jenis kekacang atau beras pulut boleh rendam dulu untuk memudahkan proses penghadaman, seterusnya mengurangkan fermentasi oleh bakteria.

4) Amalkan sayuran dalam diet pemakanan sebagai sumber serat (prebiotik) dan fitokimia yang bagus.

5) Kurangkan makanan terproses. Kurangkan pengambilan gula tersedia.

6) Boleh tambahkan makanan difermentasi yang mengandungi mikrob baik (sumber probiotik) seperti yogurt, tempoyak dan tapai untuk mempelbagaikan flora bakteria dalam usus.