KUASA seorang influencer memang luar biasa. Mereka tidak perlu pandai berlakon atau menyanyi, cukup hanya bersandarkan dengan konten yang dibawa.

Jika kacak atau jelita, itu satu bonus terbesar kepada golongan itu yang semakin lama bertambah dari segi angkanya.
Menjadi resam seorang influencer, setiap perkongsian melibatkan fesyen, pandangan atau apa sahaja yang dipakai sentiasa menarik perhatian dan menjadi ikutan peminat tidak mengira usia.

Aura itu semua dimiliki oleh Fatin Noraishah Shafika Che Mat Aripin yang aktif memuat naik variasi penggayaan fesyen di laman Instagramnya.

 

Baca juga: Tinie tetap makan nasi walau bergelar supermodel ini rahsia lain yang ramai tak tahu

Baca juga: Minyak kelapa ketulan ais bantu kekalkan kecantikan Jaja Iliyes

Bukan sahaja boleh dijadikan sebagai rujukan, bahkan perkongsian wanita berusia 28 tahun berkenaan juga boleh memberi inspirasi kepada mereka yang ingin bereksperimen dengan penampilan baharu.

Melihat kepada pesona yang dimiliki oleh anak jati Selangor itu sudah cukup untuk membuatkan ramai tertumpu kepadanya, sementelah setiap stail yang diketengahkannya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Mungkin disebabkan itu, beberapa jenama tempatan seperti Nurita Harith, Naelofar dan Lily Petuna memilih beliau untuk memperagakan rekaan mereka.

Fatin kerap meraikan hal-hal yang kecil bersama suami bagi mengelakkan stres.

Mesra disapa sebagai Fatin, wanita itu tidak hanya melontarkan pandangannya tentang fesyen, malah beliau turut memecah rahsia penjagaan kulit wajah, kesihatan termasuk penampilan sebagai wanita berhijab. Ikuti temu bual SinarPlus bersama beliau:

SINARPLUS (SP): Bagaimanakah anda menjaga kesihatan kulit wajah. Adakah anda pernah mengalami sebarang alahan pada kulit yang teruk sebelum ini?

FATIN: Salah satu usaha untuk mengecilkan bahagian pori-pori wajah, saya akan meletakkan ketulan ais pada bahagian muka sebelum mengenakan solekan.

Pemakaian krim pelindung matahari dan pelembab juga amat penting dan perlu dijadikan sebagai rutin. Ya, saya memang rajin melakukannya.

Sebelum ini, saya pernah mengalami masalah kulit muka yang teruk atau breakout, tetapi saya mengambil pendekatan untuk merehatkan diri seketika daripada memakai sebarang solekan dan cuba untuk mendapatkan rawatan di spa kecantikan.

SP: Pemakaian pelitup muka sudah menjadi satu kewajipan pada masa kini. Adakah anda pernah mengalami sebarang alahan kulit wajah apabila memakai pelitup muka?

FATIN: Secara peribadi saya tidak pernah mengalami sebarang alahan disebabkan memakai pelitup muka. Namun, kepada mereka yang berdepan dengan masalah itu, kena sentiasa rajin untuk menukar pelitup muka terutamanya bagi mereka yang memakai solekan sepanjang hari.

Permukaan muka yang lembab disebabkan peluh juga menyebabkan bahagian pori-pori menjadi tersumbat sehingga berlakunya jerawat.

SP: Beralih tentang penjagaan fizikal, bagaimanakah anda mengekalkan bentuk tubuh dan apakah jenis senaman yang dilakukan?

Iklan

FATIN: Lazimnya, saya akan meluangkan masa untuk bersenam di gimnasium atau berjoging. Bagi aspek pemakanan pula, saya cuba elak mengambil makanan berat terutama pada waktu malam. Selain itu, saya juga tidak terlalu mengambil makanan manis atau pencuci mulut dan memperbanyakan minum air putih.

SP: Siapakah yang menentukan gaya atau pilihan pakaian untuk dimuat naik ke Instagram? Apa stail fesyen kegemaran anda?

FATIN: Apabila bercakap soal fesyen, saya lebih gemarkan gaya atau pakaian yang dapat membuatkan saya berasa selesa dan sesuai. Sejujurnya, saya sendiri yang menentukan pilihan gaya atau padanan busana yang akan dipakai ataupun dimuat naik di media sosial. Paling penting, pakaian itu perlu sedikit longgar dan besar.

SP: Sebagai seorang wanita berhijab, bagaimanakah anda menjaga kesihatan rambut agar kekal sihat? Adakah anda menggunakan sebarang petua tradisional?

FATIN: Selalunya apa yang dilakukan adalah memotong rambut setiap empat bulan sekali. Jika ada masa terluang saya akan memanjakan diri dengan menggunakan bahan organik bagi mendapatkan penjagaan rambut yang semula jadi. Saya turut menggunakan santan kelapa asli yang diperah. Jangan guna santan segera pula ya!

Iklan

SP: Selain penjagaan tubuh badan, apakah yang anda lakukan bagi menjamin kesihatan mental?

FATIN: Penjagaan kesihatan mental amat penting dalam mengawal stres. Bagi mengatasi masalah itu, saya akan meraikan hal-hal yang kecil bersama suami atau luangkan masa membeli-belah. Paling penting, jangan biarkan minda dibelenggu dengan aura dan pemikiran negatif.

Sentiasa luangkan masa dengan persekitaran yang baik dan individu yang memberi sokongan terhadap apa jua perkara yang kita lakukan.

Sekiranya mempunyai sebarang masalah, saya akan kongsikan dengan keluarga atau teman rapat agar tidak memendamnya sendiri. Dengan itu, saya dapat mendengar pendapat orang lain juga. Setidaknya, mungkin pandangan mereka dapat memberi solusi kepada masalah yang kita sedang hadapi.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram