AMALAN norma baharu telah mengubah beberapa aktiviti fizikal kepada digital. Begitu juga dengan acara Hari Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2021.

Bagaimanapun pertunjukan fesyen tersebut memperkenalkan kaedah baharu iaitu dengan menggabungkan aktiviti fizikal dan digital dalam satu masa yang digelar ‘phygital’.

Menurut Penerbit Acara dan Pengasas Hari Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Dodi Mohammad, konsep phygital itu merupakan acara julung kali diadakan.

“Gadungan kedua-dua dunia fizikal dan juga digital (metaverse) menjadi acara fesyen pertama yang dipersembahkan. Tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia dan pastinya pencapaian ini akan menjadi sesuatu yang mampu dibanggakan.

“Beberapa pereka fesyen popular digandingkan dalam acara ini sekali gus menjadi satu usaha mempromosikan pendidikan fesyen kepada masyarakat,” jelasnya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Junady Nawawi berkata, acara tersebut merupakan salah satu penerima Geran Pemulihan Industri Kreatif (CIRG) di bawah Pelan PENJANA untuk industri kreatif.

“Ini adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan yang terdiri daripada geran, pinjaman mudah pelaburan sepadan, pinjaman mudah laluan pantas dan program pelengkap seperti latihan digital, bimbingan dan kerjasama,”terang beliau.

Dianjurkan oleh Tradisi Busana PR dengan sokongan PENJANA, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan MyCreative Ventures itu mula disiarkan kepada umum menerusi www.klfashionweekend.com bermula 25 hingga 28 November.

Diadakan mengikut prosedur operasi standard, pertunjukan fesyen tersebut berlangsung di rumah agam warisan, Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.

Iklan

Pereka fesyen yang terlibat antaranya, Zang Toi dengan kerjasama Nang Surya Batik, Datuk Tom Abang Saufi, Lord’s, Wan & Mary, Tym Fatimah, Bin Qareem, Ked Depo, Faisol Abdullah, Atma Alam, Jafiqa dan Ash Majid.

Selain itu terdapat juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Raffles.

Iklan

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram