Mengapa warna hitam dianggap penyelamat? Ini penjelasan Pengasas Azura Couture

August 8, 2021
Oleh Nurul Fadila Awaludin

KONSEPNYA mudah. Hamparlah koleksi fesyen baik warna terang mahupun lembut, majoriti wanita lebih cenderung memilih warna gelap khususnya rona hitam.

Masakan tidak, pakaian nuansa tersebut disifatkan penyelamat dan tentunya menjadi item wajib dimiliki di dalam gerobok peribadi setiap wanita.

Bahkan, pereka fesyen paling berpengaruh sekitar tahun 1940, Christian Dior turut memberitahu: “Wanita bebas menyarungkan busana warna hitam tanpa mengira masa dan peringkat umur.

Selain itu, ia (fesyen warna hitam) juga ideal digayakan dalam pelbagai majlis, acara dan lokasi.

“Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pakaian warna hitam paling banyak ‘menghiasi‘ almari golongan wanita.“

Persoalannya, mengapa rona hitam sering menjadi pilihan? Bagi mendapatkan kepastian, pereka fesyen wanita tempatan, Azura Mazaruddin mempunyai jawapan.

Menurut pengasas jenama Azura Couture itu, ironinya wanita dan warna hitam umpama sahabat karib yang sukar untuk dipisahkan, apatah lagi rona terbabit kekal relevan sepanjang zaman.

“Menyorot momen kanak-kanak kita belajar melukis garisan pun menggunakan mata pensil berwarna hitam. Bermula daripada garisan hitam, ia diperhalusi dan diserikan pula dengan warna-warna lain sehingga menjadi lukisan indah.

“Begitu juga dalam perspektif fesyen yang mana warna ini (hitam) sesuai dipadankan dengan rona sampingan. Pada masa sama, ia menawan dan elegan membaluti tubuh wanita sama ada berkulit gelap ataupun cerah.

“Selain itu, rona gelap itu juga menduduki carta teratas kerana memudahkan pencinta fesyen mempraktikkan konsep suai dan padan bersama kasut, aksesori dan tas tangan warna kontra,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Iklan

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram

 

Sembunyi kekurangan fizikal?

Mengulas lanjut, pereka berusia 37 tahun itu menjelaskan bahawa wanita bebas untuk menggayakan pakaian berasaskan warna hitam bila-bila masa, tetapi bergantung pada jenis rekaan, material dan konsep.

Iklan

“Pun begitu, apabila melibatkan majlis makan dan majlis berprestij berlangsung pada sebelah malam, gaun warna hitam sering menjadi pilihan. Berikutan gayanya yang tampak elegan dan stailo.

“Bagaimanapun, buat wanita yang memilih warna hitam polos dari hujung rambut hingga hujung kaki, maka disarankan menambah pelengkap gaya warna kontra seperti kasut tinggi atau beg genggam warna kuning keemasan.

“Ini bagi mengelakkan penampilan tampak bosan umpama sedang berkabung atau berduka,“ tutur Azura yang menepis dakwaan nuansa hitam menyebabkan seseorang itu kelihatan berusia.

Sementara itu, diajukan soalan keberkesanan warna hitam membuatkan wanita kelihatan langsing, Azura berkongsi pendapat. Tutur graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor itu, pakaian rona hitam tidak sesekali menjadikan kaum Hawa kurus serta-merta.

“Namun begitu, warna sedemikian membolehkan wanita bermain dengan ilusi menyembunyikan sebarang gangguan visual dan kekurangan fizikal.

“Dalam erti kata lain, pakaian warna hitam membantu menyorokkan lipatan lemak, benjolan ataupun selulit pada kulit badan termasuklah garis pakaian dalam. Kesannya, kamu akan kelihatan langsing pada pandangan mata orang lain,“ katanya yang juga berkongsi tip warna kuning keemasan, perak, merah jambu terang, putih dan neon merupakan kombinasi ideal bersama rona hitam.

Oleh itu, bagi pembaca SinarPlus yang mencari idea untuk menggayakan fesyen warna hitam barangkali penampilan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Ernie Zakri, Nana Mahazan dan Iman Troye boleh dijadikan rujukan.- IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Datuk Seri Siti Nurhaliza
Aina Abdul
Ernie Zakri
Nana Mahazan
Iman Troye

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram