NAMA pelakon Jaja Iliyes bukan asing dalam industri hiburan tanah air. Penglibatannya menerusi naskhah 7 Hari Mencintaiku 2, Bidadari Salju dan Ajari Playboy Itu secara tidak langsung mengangkat nama finalis Drama Festival Kuala Lumpur 2016 itu sehingga kini.

Bukan sahaja mengenai bakat lakonannya diperkatakan, pesona yang dimiliki wanita berusia 25 tahun itu turut menarik perhatian. Penampilannya yang sopan dan lemah lembut juga menjadi tambah nilai kepada diri selebriti berkenaan.

Sifat yang dimiliki Jaja lantas membuatkan wanita kelahiran Johor itu kelihatan manis tatkala bertentang empat mata dengan beliau baru-baru ini.

Imej berambut panjang dan wajah tanpa cela membuatkan SinarPlus tertanya-tanya apakah rahsia kecantikan yang dimiliki oleh pemilik nama lengkap Siti Hajar Iliyes.

Hanya melepaskan ketawa kecil saat menerima pujian, Jaja mengakui, beliau menggunakan bahan yang mudah didapati dan bersifat semula jadi sahaja.

Ingin tahu rahsianya, ikuti perkongsian Jaja bersama penulis mengenai rutin penjagaan yang diamalkan termasuk aktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

SINARPLUS (SP): Bolehkah Jaja kongsikan amalan penjagaan wajah yang diamalkan?

JAJA ILIYES: Pada waktu pagi, biasanya saya akan memakai produk pencuci muka. Kemudian saya akan mengambil satu kiub ais dan meletakkannya pada seluruh bahagian wajah sehingga rasa sejuk.

Selepas dibiarkan seketika, saya lap wajah dengan menggunakan tuala secara lembut. Setelah selesai, barulah saya gunakan toner, serum, pelembab dan pelindung matahari. Bagi krim (pelindung matahari), saya akan gunakan pada waktu siang dan juga malam. Sebaik sahaja tiba di rumah dan ingin tidur, saya akan mencuci muka dan pastikan ia benar-benar bersih.

Selain penggunaan produk penjagaan wajah, saya juga mengamalkan minum air putih dan meletakkan satu botol besar di dalam bilik supaya senang untuk diminum.

SP: Apakah yang anda lakukan untuk menjaga stamina dan bentuk fizikal?

JAJA ILIYES: Sekiranya berkesempatan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti, saya akan berjoging di sekitar kawasan rumah sebanyak lima kali pusingan.

Namun, sepanjang PKP lalu, saya banyak melakukan aktiviti zumba, loncatan tingkat menggunakan tali skip dan senaman kardio. Walaupun duduk di rumah, saya tetap menyibukkan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh dan pastikan diri sentiasa kekal aktif.

SP: Memiliki rambut yang panjang, pasti sukar untuk menjaganya. Bagaimanakah Jaja menguruskannya?

JAJA ILIYES: Sebenarnya rambut saya tidak begitu lurus kerana ia sedikit beralun. Namun, sejak kecil mak gemar lumurkan rambut saya dengan minyak kelapa. Disebabkan sudah terbiasa, biarpun sudah dewasa saya jadikan ia sebagai satu amalan.

Iklan

Boleh dikatakan saya akan memakainya setiap dua minggu sekali. Sekiranya rajin, saya akan melakukan sekali seminggu. Saya juga akan memakai serum rambut setiap kali selepas mandi.

bSelain daripada penjagaan penampilan fizikal, apa yang Jaja lakukan untuk memastikan tahap kesihatan mental terjamin?

JAJA ILIYES: Selain melakukan aktiviti riadah dan menghabiskan masa di rumah seperti yang saya katakan tadi, salah satu cara untuk mendapatkan sumber kekuatan adalah dengan mendekatkan diri dengan MAHA PENCIPTA.

Insya-ALLAH, pemikiran kita akan menjadi lebih tenang dan jiwa berasa lapang. Dalam keadaan sekarang, kita bukan sahaja menitikberatkan perihal jasmani, malah kekuatan rohani juga perlu diambil kira.

SP: Sepanjang tempoh PKP lalu, apakah aktiviti yang Jaja lakukan untuk mengisi masa lapang di rumah?

Iklan

JAJA ILIYES: Kebiasaannya saya akan melakukan tugasan rumah seperti mengemas dan membersih sebagai salah satu cara senaman.

Cara sebegini dapat juga mengeluarkan peluh. Setelah selesai semua tugasan, saya akan masuk ke dalam bilik untuk menonton YouTube. Saya akan menonton video untuk menambah pengetahuan dengan mempelajari perkara baharu.

Antara video yang menjadi pilihan saya adalah teknik meningkatkan keyakinan diri, memantapkan kemahiran lakonan dan senaman. Saya juga akan belajar resipi baharu dan mencuba menu tersebut, lebih-lebih lagi memasak adalah salah satu daripada hobi saya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram