BAGAIKAN isi dengan kuku. Begitulah perumpamaan yang cukup sesuai bagi menggambarkan tentang perkara melibatkan kecantikan dengan kaum Hawa.

Bermula daripada kesihatan rambut hinggalah ke hujung kaki, segalanya perlu dijaga agar dapat tampil jelita dan menawan sentiasa.

Bukan sekadar menggunakan produk kosmetik atau alat solek, tetapi penjagaan kesihatan yang bermula dari dalam perlu untuk mendapatkan hasil kejelitaan semula jadi.

Oleh itu, SinarPlus kongsikan lima jenis makanan yang dapat melambatkan proses penuaan sekali gus membuatkan anda kelihatan awet muda:

1. Air kelapa

Boleh dikatakan amalan meminum air kelapa sudah diterapkan sejak kecil lagi. Bukan sahaja minuman tersebut mudah didapati, tetapi ia juga seakan menu wajib sekiranya berada di kawasan tepian pantai.

Bagi yang tidak menggemari air kelapa, anda sudah boleh mula untuk meminum minuman tersebut mulai sekarang. Hal ini kerana air kelapa mengandungi harmon estrogen yang dapat membentuk kolagen dan elastin.

Kedua-duanya berfungsi untuk mengekalkan keanjalan kulit dan melambatkan proses kedutan kulit wajah. Manfaat air kelapa lain ialah mencegah daripada dehidrasi, mengurangkan risiko penyakit jantung, menurunkan tekanan darah dan membantu meningkatkan stamina badan.

2. Ubi keledek

Ubi keledek mempunyai pelbagai variasi warna seperti kuning, ungu, jingga, merah jambu dan putih. Ia juga tergolong dalam kategori tumbuhan menjalar.

Kandungan ubi keledek yang kaya dengan vitamin C dan E dapat membantu mengekalkan keanjalan termasuk kelembapan kulit wajah.

3. Lobak merah

Kandungan vitamin A, E dan C yang ada dalam lobak merah dipercayai dapat membantu untuk melawan sel kanser. Selain vitamin, lobak merah juga kaya dengan kandungan mineral seperti kalsium, potasium, alpha karotin dan beta-carotene.

Pengambilan lobak merah baik kerana kandungan antioksidan dapat melindungi kulit daripada sinaran matahari, mengelakkan jerawat, kulit kering, kedutan pramatang dan mencerahkan kulit wajah.

Iklan

4. Bayam

Tumbuhan ini sangat mudah untuk didapati di Malaysia dan yang popularnya ialah bayam merah dan hijau. Selain enak dimakan tumbuhna ini juga berfungsi sebagai salah satu agen anti-penuaan dan dapat melicinkan kulit wajah.

Bayam juga dapat menguatkan akar rambut manakala kandungan vitamin K boleh mengurangkan masalah keradangan dalam sel.

5. Kacang badam

Sering dijadikan sebagai bahan kudapan saat membaca buku atau menonton televisyen, pengambilan kekacang juga sebenarnya baik untuk kulit wajah.

Iklan

Kekacang seperti badam mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi termasuk vitamin E yang sangat baik untuk kulit seperti menghapuskan sel kulit mati dan mengurangkan lingkaran gelap bawah mata.

Secara kesimpulannya, pengambilan makanan sihat penting untuk kesihatan dan mengelakkan daripada penyakit kronik seperti kencing manis atau masalah jantung.

Paling utama amalkan gaya hidup sihat dan kurangkan pengambilan makanan berminyak, makanan segera dan minuman bergula yang tinggi.

Tidak salah untuk memakannya, tetapi jangan dijadikan sebagai amalan makanan harian.