JIKA diikutkan hari ini genap lapan hari pengacara dan usahawan, Neelofa tampil berimej baharu selepas memuat naik sekeping foto mengenakan niqab dalam Instagram peribadinya.

Posting yang disiarkan pada 15 Oktober lalu itu memaparkan penampilan Neelofa berniqab sedang bercakap di telefon dan menggayakan aksesori jenama terkemuka antarabangsa.

Selepas beberapa jam memuat naik foto yang mendapat sebanyak 721,030 jumlah likes tersebut Neelofa kemudiannya, berkongsi pula sekeping nota menzahirkan isi hati mengenai penghijrahan itu.

Titip Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 31, beliau meminta agar mendoakan perjalanan baharunya sentiasa dalam rahmat dan reda Ilahi.

“Insya-ALLAH, semoga kita sentiasa dilindungi ALLAH dan selalu berada dalam rahmat dan ehsan-NYA,” tulis beliau yang juga berdoa sentiasa istiqamah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari.

Biarpun kini berimej baharu, namun perubahan tersebut sedikitpun tidak mengekang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu untuk terus proaktif dalam mengusahakan bisnes hijab dan produk susu.

neelofa
IMEJ baharu Neelofa memakai niqab membuatkan ramai wanita ‘jatuh hati’ dan berusaha mengikut langkahnya.

Bahkan, ‘penampilan’ bekas pengacara Meletop itu dalam laman sosial sentiasa dinantikan warganet. Buktinya, acap kali berkongsi kepingan foto #OOTD rata-rata netizen pantas memberikan maklum balas positif.

Majoritinya memuji kerana gaya Neelofa bukan sahaja tampak lebih sopan, malah bijak menerapkan konsep suai dan padan antara pakaian, niqab dan pelengkap gaya pilihan.

Pendek kata, sejuk mata memandang.

Pun demikian, terdapat juga segelintir individu bertanyakan, adakah niqab, purdah dan burqa imej yang serupa. Jawapannya, tidak.

Justeru bagi mengelakkan kekeliruan, segmen Sihat Cantik ini berkongsi perbezaan ringkas antara tiga imej Muslimah terbabit.

Niqab

neelofa niqab
Helaian kain yang menutup dahi dan keseluruhan wajah kecuali bahagian mata sahaja terbuka. Niqab yang hadir dalam variasi warna gelap atau lembut lazimnya diikat pada luar tudung. Panjang niqab pula labuh menutupi dada.

Iklan

Purdah

purdah
Kainnya menutup separuh muka bermula dari hidung hingga ke paras dada atau mengikut keselesaan wanita. Sementelah, bahagian mata dan dahi boleh dilihat. Kebiasaannya purdah diikat pada belah dalam tudung.

Burqa

Iklan

burqa
Ia menutupi seluruh bahagian termasuk mata. Bagaimanapun, pada kawasan mata burqa lapisannya sedikit nipis bagi memberikan keselesaan ketika wanita bergerak.

Artikel berkaitan: ‘Doakan saya…’ – Neelofa kini sudah berniqab

Foto: Instagram @neelofa, pinterest