PASTINYA, tidak ramai yang gemar atau tahan mandi dengan air sejuk pada waktu pagi. Disebabkan itulah kebanyakan rumah kini dilengkapi dengan alat pemanas air.

Untuk pengetahun pembaca SinarPlus, mandi dengan air sejuk pada waktu pagi adalah amalan biasa di sesetengah negara.

Penulis sebelum ini pernah terbaca mengenai perkongsian dua selebriti popular Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Noor Neelofa Mohd Noor yang pernah mengamalkan terapi mandian ais (mandi dengan air sejuk).

Kata mereka, banyak manfaat terapi tersebut jika diamalkan terutamanya untuk kekal sihat dan segar.

Wah, benarkah dan apakah alasan-alasannya?

Menurut kajian Shevchuk N.A pada tahun 2018, terdapat beberapa kebaikan yang boleh didapati apabila kita mengamalkan mandi air sejuk pada waktu pagi.

“Sejuk di sini adalah dalam lingkungan suhu 20 darjah Celsius.

“Apabila kita bangun awal pagi, cuaca sangat sejuk dan amat sukar untuk terus bersiram dengan air sejuk,” kongsi kajian tersebut.

Menghuraikan kaedahnya, kajian itu menyebut, kita mungkin boleh memulakan metodologi itu dengan menggunakan air suam atau panas selama 30 saat hingga 2 minit sebelum menyambungnya dengan mandian air sejuk.


Kaedah berkenaan dikatakan dapat mengurangkan rasa keletihan.

Untuk ahli sukan, ia dipercayai dapat mempercepatkan proses penyembuhan fizikal.

Selain itu, amalan mandi air sejuk juga mampu meningkatkan metabolisme badan yang mana ia (badan) akan bekerja untuk menstabilkan suhu keseluruhan badan.

Kepada mereka yang mempunyai kulit kering, ini merupakan salah satu kaedah mudah untuk diimplemenkan.

Iklan

Ini kerana mandian air sejuk membantu dalam mengekalkan keanjalan kulit, selain dapat meningkatkan pengaliran darah dalam badan apabila badan mencapai suhu yang sejuk.

Kurangkan depresi

Dalam kajian yang sama juga menjelaskan, mandi dengan air sejuk dapat mengurangkan depresi kerana terdedah kepada air sejuk dikatakan boleh mengaktifkan sympathetic nervous system dan meningkatkan hormone beta-endorphin dan noradrenaline di dalam darah.

Portal Kesihatan Antarabangsa, healthline.com juga ada menyarankan, jika anda berada dalam persekitaran yang sejuk, mandi air sejuk bukanlah pilihan yang tepat.

Iklan


Mandi dengan air sejuk juga tidak sesuai jika anda sedang sakit kerana suhu yang sejuk akan menyukarkan sistem imun tubuh badan kita.

Baca juga Air detoks bantu elak minuman manis, bukan jalan singkat untuk kurus

Kesimpulannya, apa-apapun pilihan anda sama ada mandi dengan air sejuk atau air panas, pastikan ia bersesuaian dengan keadaan anda ketika itu.

Paling penting, rajin-rajinlah mandi terutamanya jika anda baru pulang dari luar, apatah lagi ketika negara masih bergelut dengan wabak pandemik Covid-19 kini. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada anda. #kitajagakita #kitamestimenang