PELAKON remaja sedang meningkat naik, Bella Dowanna Halim (Bella) kini tersenyum manis menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik selepas menanggalkan pendakap gigi (braces).

Jika kebiasaanya individu memakai pendakap gigi selama tiga tahun, namun bintang utama drama, Budak Tebing itu pula ‘berdampingan’ dengan braces hampir enam tahun.

Selebriti berusia 18 tahun itu memberitahu, beliau perlu memasang pendakap gigi berikutan gigi bahagian depan renggang.

“Akhirnya, saya membuka pendakap gigi. Sumpah lama gila pakai braces sejak berumur 12 tahun.

“Gigi Bella jarang sampai boleh selit straw dekat tengah-tengah gigi (ketawa),” tulisnya menerusi posting yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram @belladowanna_halim baru-baru ini.

bella dowanna
BELLA teruja apabila giginya yang jarang sebelum ini tersusun rapi selepas memakai pendakap gigi sejak berusia 12 tahun.

Menurut Bella, sepanjang tempoh berkenaan beliau terpaksa memakai pendakap gigi sebanyak dua kali kerana keadaan giginya.

“Saya dua kali pakai pendakap gigi okay. Ada gigi hilang entah ke mana, apabila x-Ray baru jumpa.

“Buat pembedahan untuk tarik gigi turun dan ingatkan semua sudah okay, tetapi apabila buka (pendakap) gigi jarang balik dan finishing tak cantik,” imbas Bella pengalaman memakai pendakap gigi di klinik kerajaan sebelum ini.

bella dowanna
PELAKON utama drama Budak Tebing tersebut antara selebriti muda yang memiliki rambut cantik panjang mengurai.

Justeru, untuk pemasangan kali kedua beliau memilih mendapatkan rawatan di sebuah klinik gigi swasta bagi memastikan giginya cantik dan tersusun.

“Kalau dulu masalah gigi tak turunlah, gigi hilanglah, tetapi kali ini lebih kepada aesthetic (estetik atau kecantikan).

“Saya lakukan frenectomy dan gingivectomy. Gingivectomy untuk buang sedikit gusi pada gigi bagi menampakkan gigi lebih sikit. Frenectomy pula untuk elakkan gigi depan jarang semula sebab sebelum ni selepas buka first braces kembali jarang.

Iklan
gigi
PEMASANGAN braces (kiri) ataupun retainer perlu dilakukan bersama doktor gigi bertauliah.

“Lagipun saya pernah buat retainer kekal belakang gigi jadi ia lebih selamat kalau saya lupa pakai retainer yang lutsinar.

“Namun begitu, saya masih perlu pakai retainer lutsinar walaupun ada retainer kekal,” terangnya lanjut.

Secara ringkas, pemakaian pendakap gigi membantu membaiki susunan gigi pada kedudukan yang teratur. Proses tersebut adalah untuk memudahkan proses mengunyah makanan dan pembersihan.

Iklan
doktor gigi
ORANG ramai dinasihatkan sentiasa merujuk doktor gigi bertauliah berbanding mempercayai khidmat rawatan gigi yang ditawarkan secara online.

Bagaimanapun, individu khususnya golongan remaja jangan sesekali terpengaruh dengan pendakap gigi yang dijual secara dalam talian.

Korang disarankan mendapatkan konsultasi dan pemeriksaan daripada doktor gigi bertauliah.

Sumber: @belladowanna_halim, Freepik dan Canva