MEMPAMERKAN semangat patriotisme terhadap negara tercinta, Malaysia bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang semata-semata.

Hakikatnya, rasa kecintaan itu boleh diterjemahkan melalui pelbagai saluran. Satu daripadanya adalah dengan menyokong dan membeli produk buatan tempatan.

Jika bukan rakyat sendiri, maka tanggungjawab itu perlu diletakkan pada bahu siapa? Lagipun tiada ruginya kita menyokong produk daripada pengusaha lokal yang mana mutu dan kualiti dihasilkan sebahagian besarnya setaraf peringkat antarabangsa.

Inisiatif tersebut nampaknya turut dilaksanakan oleh Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James.

Masakan tidak, jika singgah ke laman sosial peribadi @francisca.luhong, ratu setinggi 175 sentimeter tersebut sentiasa memuji dan mempromosikan koleksi busana pereka tempatan.

Lebih membanggakan tatkala memenuhi undangan bual bicara di stesen televisyen atau menghadiri program tanggungjawab sosial, anak jati Kuching, Sarawak itu kerap menyarungkan persalinan pakaian bercirikan elemen tradisional dan kontemporari bercirikan Bumi Kenyalang.

Antara yang menjadi pilihan Francisca berketurunan Orang Ulu Kayan-Kenyah sebelah bapa dan Iban (sebelah ibu) ialah sut nuansa putih koleksi jenama Ben Nazry @bennazary.

Menariknya, mengenai outfit terbabit pereka fesyen tidak membiarkan ia polos, sebaliknya menyuntik ‘keceriaan’ dengan corak tradisional Sarawak pada sebelah kanan baju.

francisca
FRANCISCA tampak elegan dalam persalinan sut karya pereka kelahiran Sarawak, Ben Nazry yang turut menggunakan eleman corak tradisional Sarawak.

Coret pemegang Ijazah Perhubungan Awam, Universiti Teknologi Mara cawangan Lendu, Melaka itu: “Adakah anda pernah mengalami hari buruk, tetapi mood segera menjadi positif dan yakin selepas memakai baju yang cantik?

“Beginilah perasaan sedang saya alami apabila menyarungkan pakaian ini (sut putih). Biarpun keletihan sepanjang hari, saya tetap gembira.

“Jadilah diri sendiri dan persalinan ini sedikit sebanyak membawa inti pati dalam diri saya.”

Bahkan, menerusi posting yang sama Francisca juga menzahirkan keterujaan melihat hasil karya jenama tempatan setanding dengan jenama besar.

Artikel berkaitan: “Sudah tahun 2020, kenapa masih bersikap rasis, kenegerian”- Francisca Luhong

Selain itu, beliau juga tampak anggun menggayakan blaus nuasa merah berasaskan fabrik pua kumbu rekaan, Datuk Aaron Von Jolly ketika hadir dalam rancangan Pesona XY terbitan RTM pada September lalu.

Iklan

francisca

Secara ringkas, pua kumbu merupakan kain kapas tradisional rakyat Sarawak. Fabrik yang hadir pelbagai warna itu lazimnya ditenun oleh wanita masyarakat Dayak dan dianggap kain suci.

 

 

Iklan