BIARPUN tahun 2020 menyaksikan seantero dunia termasuk Malaysia dilanda pandemik Covid-19, namun di sebalik kepahitan itu terselit kemanisan yang bakal dikenang hingga akhir hayat.

Inilah situasi yang dialami oleh barisan selebriti tempatan apabila diberikan rezeki daripada-NYA untuk diijabkabulkan bersama insan tersayang.

Meskipun tetamu dan tuan rumah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakkan fizikal, tetapi majlis hari bahagia berlangsung seperti direncanakan.

Paling mengujakan tatkala melihat penampilan selebriti yang tampak anggun dan mempesonakan dalam persalinan busana perkahwinan.

Apatah lagi, duduk bersanding bersama pasangan di atas pelamin yang dihias indah.

Justeru, sebelum tahun 2020 melabuhkan tirai segmen Sihat Cantik SinarPlus menyingkap kembali lima busana ratu sehari selebriti popular tahun ini.

1- Gaun mewah Mira Filzah

MIRA-EMIR
BAK pinang dibelah dua Mira dan Emir menggayakan tiga busana rekaan tiga pereka terkenal tempatan.

Majlis perkahwinan pelakon Mira Filzah dan pasangan, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

Penampilan pelakon manis itu mencuri tumpuan apabila menggayakan busana sentuhan tiga pereka fesyen tempatan hebat.

Bagi majlis pernikahan Mira menyarungkan baju kurung Pahang jenama Rizman Ruzaini bertatah ribuan jemeki pada bahagian kaki. Baju nuansa putih itu disiapkan dalam tempoh 200 jam.

mira filzah
GAUN kembang rekaan Fizi Woo yang diinspirasi daripada corak Arabesque diserikan dengan taburan perincian mewah kilauan rona emas.

Sementara itu, pada majlis resepsi pertama Mira memilih gaun kembang rekaan Fizi Woo yang disempurnakan dalam tempoh masa 500 jam. Taburan perincian mewah kilauan rona emas tersebut diinspirasi daripada corak Arabesque.

Ini susuli pula busana kombinasi dres dan seluar warna powder blue rekaan Rico Rinaldi untuk majlis resepsi berkonsepkan dalam taman.

2- Solekan ala Bollywood Zahirah

zahirah
Pelakon popular, Zahirah MacWilson dan pasangannya pelakon , iman Hakim Ridza bernikah pada 20 Februari lalu.

Paling mencuri tumpuan apabila Zahirah dirias persis pelakon Bollywood pada malam berinai sehari sebelum majlis akad nikah.

Jurusolek tempatan, Nurul MF yang bertanggungjawab ‘mencantikkan’ Zahirah telah mempraktikkan solekan mata konsep glamor smokey eyes. Kemudian, disempurnakan bersama pemerah pipi dan lipstik rona natural.

Keserian Zahirah semakin menyerlah apabila menggayakan busana tradisi Lenhenga rona merah hati koleksi Rizman Ruzaini.

3 Elly Mazlein persis srikandi Kelantan

elly mazlein
Bertemakan Cik Siti Wan Kembang, penampilan selebriti popular, Elly Mazlien pada malam majlis berinai tidak ubah seperti srikandi Kelantan.

Pada majlis tersebut Elly Mazlien bersama pasangan, Mohamad Azlan tampil sedondon dalam persalinan songket serba biru daripada label Jimmy Couture.

Iklan

Penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein sah bergelar isteri dengan sekali lafaz pada 17 Januari lalu.

4- Emma Maembong bak Barbie

emma maembong
Pelakon cantik, Emma Maembong memilih tarikh 20 Februari 2020 untuk mematri cinta bersama suaminya, Muhammad Shazli Azhar.

Bermula daripada majlis pernikahan hinggalah resepsi penampilan Emma sentiasa memikat pandangan mata para tetamu.

Antaranya ialah gaun kembang warna putih konsep bertingkat rekaan koleksi Rizman Ruzaini.

Tidak keterlaluan, SinarPlus menyifatkan penampilan selebriti berdarah kacukan tersebut umpama anak patung Barbie.

Iklan

5- Riben besar Tasha Shila

tasha shilla
Sementara itu, pelakon, Tasha Shila pula memilih dres labuh karya pereka tempatan terkenal, Hatta Dolmat pada majlis resepsinya bersama suami, Muhammad Atiq.

Biarpun berasaskan warna putih, namun Hatta bijak bermain dengan taburan mutiara dan menerapkan elemen riben besar pada bahagian belakang busana.

Tasha dan pasangan disatukan pada 28 Februari lalu.

 

Sumber: Instagram selebriti dan @jimmycouture