KETIKA bulan puasa, buah tembikai antara yang popular untuk dinikmati. Ada yang menikmati buah itu terus atau lebih ramai yang membuat jus. Memang sedap!

Namun demikian, berapa ramai antara kita yang tahu tentang manfaat yang terkandung dalam buah tersebut?

Berkongsi mengenainya, Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad melontarkan hujahnya di platform Facebook milik beliau.

Tulisnya, terdapat hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menikmati buah tembikai.

“Ini menunjukkan buah tembikai adalah buah yang bernutrisi, selamat dan baik untuk dimakan,” beritahu beliau.

Mengikut kajian sains pula, buah tembikai sangat sesuai dijadikan hidangan pertama ketika berbuka puasa bersama dengan kurma.

Sebenarnya, untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, satu atau dua potong tembikai bersama beberapa biji kurma dan segelas air kosong sudah cukup untuk memberikan tenaga segera bagi mereka yang berpuasa.

Menurut laman web healthline.com pula, tembikai mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi. Ini bermakna penyerapan gula ke dalam darah berlaku dengan pantas.

“Oleh kerana buah timbikai hanya diambil beberapa ulas saja, ia tidak memudaratkan,” beritahu mereka.

Berikut perbezaan ketara antara GI dan kalorinya:

  • Nasi putih GI: 72 (tinggi) 150 kalori/100g
  • Tembikai GI: 72 (tinggi) 30 kalori/100g
  • Kurma GI: 42 (rendah) 282 kalori/100g

Oleh yang demikian, penting untuk kita ketahui, semasa menjalankan ibadah puasa, beberapa perubahan fisiologi dalam tubuh akan berlaku.

Antaranya enzim yang berada dalam tubuh dikeluarkan secara perlahan-lahan disebabkan kita tidak makan sepanjang hari.

“Bukan itu sahaja, lapisan lendiran yang menyelaputi dinding dalam saluran penghadaman (perut dan usus) juga menipis.

“Oleh itu apabila kita berbuka puasa, mulakanlah dengan makanan yang bersifat mudah (simple real food). Antaranya buah-buahan seperti tembikai, anggur, pisang dan betik,” tambah Dr Zubaidi.

Mengenai kelebihan buah tembikai, laman web medicalnewtoday.com berkongsi, ia mengandungi Vitamin A, C, thiamin, riboflavin, niacin, vitamin B6 dan folate.

Lebih mengujakan, vitamin-vitamin berkenaan membantu menstabilkan mood dan menguatkan ingatan.

Menarik bukan fakta tersebut?

Iklan

Oleh itu, berbuka puasa dengan tembikai dapat mengekalkan kesihatan tubuh kerana ia mengandungi 92 peratus air dan nutrisi yang tinggi serta sangat sesuai untuk menghilangkan dahaga ketika berbuka puasa dan menggalakkan perpeluhan ketika musim panas.

Bukan itu sahaja, tembikai juga mengandungi sebatian lycopene iaitu sebatian antioksida yang boleh didapati daripada buah-buahan berwarna merah seperti tomato.

“Satu gelas tembikai mengandungi 10 miligram (mg) lycopene, sementara satu gelas tomato mengandungi 5 ke 6mg lycopene.

“Lycopene sangat baik untuk merendahkan risiko mendapat penyakit jantung dan osteoporosis selain membantu mengelakkan penyakit kanser pada payudara dan prostat,” maklum mereka.

Selain itu, lycopene juga merupakan antioksida yang bagus diamalkan bagi pesakit diabetes, katarak, kulit dan juga membantu dalam masalah kesuburan.

Iklan

Wah, banyak betul manfaat buah tembikai ya… Beberapa jam sahaja lagi kita akan berbuka puasa, jangan lupa beli.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat dan selamat berbuka puasa!

ANEKDOT

100 gram (g) tembikai mengandungi:

  • Kalori: 30 kcal.
  • Karbohidrat: 7.5g.
  • Lemak: 0.2g.
  • Protein: 0.6g.
  • Serat: 0.4g.
  • Vitamin A: 56 IU.
  • Vitamin C: 8.1mg.
  • Kolin: 4.1mg.
  • Betaine: 0.3 mg.
  • Asid lemak omega-6: 50 mg.

Sumber: Laman web functionalmedicinebykimross.com.