SECARA asasnya, corak pemakanan pesakit yang tidak lagi mempunyai pundi hempedu adalah berbeza dengan individu sempurna organ dalamannya.
Pundi hempedu yang dibuang secara pembedahan itu dilakukan kerana terdapat pembentukan batu karang yang mana sekiranya tidak diatasi segera berisiko menyebabkan komplikasi lain dan meragut nyawa.
Justeru, selepas pembedahan individu dinasihatkan untuk ‘menolak’ makanan berminyak, bersantan dan berlemak memandangkan hempedu yang berfungsi menyerap dan mencerna lemak sebelum ini telah dibuang.
Pakar Pemakanan, Hospital Pantai Laguna, Merbok, Kedah, Norhamizah Sohaimi menjelaskan, jika tidak mengawal pemakanan pesakit berisiko mengalami cirit-birit.
Pada masa sama, berdepan reaksi angin melampau dalam perut dan perut kembung.
Artikel berkaitan: Wanita Berisiko Dua Kali Ganda Alami Batu Karang Hempedu. Ikuti Penjelasan Pakar Puncanya
Oleh itu, apakah sajian yang sesuai diamalkan? Menerusi segmen Sihat Cantik hari ini Norhamizah berkongsi menu sandwic ayam rendah lemak yang ringkas dan cepat untuk disediakan.
Ia boleh dijadikan sarapan pagi ataupun snek minum petang.
Resipi sandwic ayam rendah lemak
(untuk pesakit tanpa hempedu)
Bahan-bahan :
– Isi ayam
– 2 sudu teh daun saderi (dicincang)
– 2 sudu teh bawang (dicincang)
– 4 hirisan tomato
– 2 keping daun salad
– 3 sudu teh Greek yogurt atau mayonis rendah lemak
– 2 keping roti
Cara penyediaan:
1- Isi ayam direbus atau dipanggang bersama sedikit garam dan serbuk lada hitam.
2- Kemudian, gaulkan ayam, daun saderi, bawang dan Greek yogurt atau mayonis di dalam mangkuk sehingga sebati.
3. Letakkan campuran ayam di atas roti yang dihias bersama salad dan tomato.
4- Siap untuk dinikmati.