TANPA sedar, sudah lebih sedekad pelakon dan pengacara jelita, Scha Alyahya menghiasi industri seni tanah air yang penuh warna warni ini.

Bermula dengan kejayaan manis muncul sebagai juara Dewi Remaja 2005/2006, roda kerjaya pemilik nama lengkap Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 37, bagaikan tidak pernah berhenti.

Bermula sebagai model dalam bidang peragaan, kemudian dirinya beralih dalam arena lakonan. Selepas itu, Scha bergelar pengacara seterusnya dilabel sebagai ikon fesyen negara. Sudah banyak anugerah yang dibolotnya.

Terkini, figura sensasi itu bergelar usahawan dengan membawa satu lagi jenama iaitu Schambal iaitu makanan berbentuk sambal.

Bukan sahaja perihal kerjaya rancak diperkatakan, bahkan kejelitaannya yang tampil anggun selepas melahirkan cahaya mata kedua pada Februari lalu turut mencuri perhatian khalayak.

Mendirikan rumah tangga dengan Awal Ashaari pada tahun 2012, pasangan itu kini dikurniakan dua zuriat comel iaitu Lara Alana, 7, dan Lyla Amina, 5 bulan.

Berkesempatan bertemu dengannya dalam satu majlis baru-baru ini, SinarPlus sempat bertanyakan rahsia kecantikan beliau yang kembali langsing selepas bersalin.

Scha terbuka menceritakannya dan tidak lokek berkongsi tip-tip yang beliau praktikkan. Ikuti wawancara wartawan NURUL FADILA AWALUDIN bersama selebriti terkenal itu baru-baru ini.

SINARPLUS (SP): Tahniah diucapkan atas kelahiran cahaya mata kedua pada Februari lalu.

SCHA: Terima kasih. Alhamdulillah tahun ini sempena ulang tahun perkahwinan yang kesembilan, kami dikurniakan cahaya mata kedua.

SP: Selepas bersalin, Scha kelihatan semakin jelita dan dapat mengekalkan bentuk badan yang ramping. Kita biasa lihat sebahagian wanita mengalami masalah kenaikan berat badan selepas bersalin. Justeru, apakah rahsia atau petua membuatkan Scha kembali langsing seperti ‘anak dara’?

SCHA: Terima kasih kerana pujian itu. Sejujurnya saya tidak mempunyai sebarang rahsia atau petua untuk menjadi kurus.

Apa yang sering dilakukan adalah ‘merapikan’ rumah kerana saya tidak gemarkan keadaan berselerak dan bersepah. Kadangkala jadual kerja agak padat, jadi saya akan cuba untuk meluangkan masa membersih dan mengemas rumah.

Pada masa sama, saya juga seorang yang lasak dan tidak boleh duduk diam. Saya akan cuba mencari apa saja aktiviti yang boleh dilakukan di rumah.

SP: Adakah Scha tidak mempunyai pembantu untuk melakukan kerja-kerja di rumah?

SCHA: Memang ada pembantu, tetapi saya selesa melakukannya sendiri. Mungkin ramai yang menganggap saya ‘lady boss’ yang tidak melakukan kerja-kerja rumah.

Agak melucukan apabila setiap kali menziarahi ke kediaman ibu mertua, dia tidak membenarkan saya membuat kerja rumah kerana berasa segan untuk meminta saya berbuat demikian.

Iklan

Kadangkala ada juga yang berfikir saya seorang yang tidak melakukan kerja-kerja rumah kerana ada pembantu. Awas, sebenarnya tidak ya! (katanya berseloroh).

SP: Adakah Scha melakukan sebarang aktiviti fizikal?

SCHA: Saya tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal kerana doktor tidak membenarkan berbuat demikian.
Ini disebabkan saya melakukan pembedahan sewaktu melahirkan anak kedua, doktor menasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti lasak.

Boleh dikatakan, kediaman dua tingkat rumah ini dijadikan sebagai ‘gimnasium’ selain sibuk menguruskan dua cahaya mata.

SP: Bagaimanakah cara untuk ketahui bahawa Scha telah melakukan banyak pergerakan?

SCHA: Saya akan memakai jam pintar bagi mengetahui jumlah kalori yang telah dibakar berdasarkan aktiviti yang dilakukan.

Iklan

Boleh dikatakan setiap kali saya melakukan sebarang aktiviti, saya akan memakai jam pintar tersebut.

SP: Apakah perkara lain yang Scha lakukan untuk memastikan berat badan sentiasa ideal?

SCHA: Selain aktif dan sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak, saya juga akan memastikan minum air putih yang cukup.

Saya juga cuba untuk kurangkan pengambilan minuman manis. Jika perlu minum minuman tersebut pada sebarang acara, saya akan cuba untuk minum lebih banyak air putih.

Pada masa sama, saya akan memastikan membawa air putih bersama-sama ke mana sahaja saya pergi.