KEPADA para gadis dan wanita yang menggemari fesyen jalur belang (stripes), Sri Candy adalah satu lagi jenama yang perlu diberi perhatian.
Bertemu dengan pengasasnya secara maya, Noranis Che Aziz berkata, pemilihan konsep Stripes Enthuasist adalah bertepatan dengan cita rasa wanita era dahulu hingga generasi sekarang.

Ia juga didorong dengan kecenderungannya pada motif itu sejak dari dulu lagi.

Saya percaya ramai wanita seperti saya gemarkan dengan paten sedemikian. Bukan sahaja corak jalur merupakan satu helah untuk nampak langsing, tetapi boleh membuatkan seseorang nampak tinggi jika dipadankan dengan kasut tumit tinggi.

“Namun, faktor signifikan bagi saya adalah kekuatan kepada corak itu sendiri yang simple dan nampak classy,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.


Sempena sambutan kemerdekaan negara, Noranis yang mesra disapa Anis berkata, SriCandy melancarkan satu koleksi yang diberi nama Freedom.

Freedom bagi jenama ini membawa maksud bebas dari segi potongan yang digunakan dalam rekaan himpunan baharu ini. Ia bersifat (potongan) longgar (loose cut, box cut) yang bakal memberi keselesaan maksimum kepada pemakainya, sekali gus berasa ‘bebas‘ untuk beraktiviti dengan busana tersebut,“ jelasnya.

 

SEMPURNA

Pereka fesyen berdarah muda itu berkata, selain kaftan labuh, beliau turut menampilkan kaftan paras lutut dan seluar jenis cullotes (denim lembut) yang sememangnya menjadi stail para Muslimah kini.

Kata Anis, seleksi Freedom tidak terhad untuk digayakan ke tempat kerja atau hadir dalam mesyuarat yang diadakan secara online, malah sesuai dijadikan pakaian untuk bersantai ke pusat beli-belah atau hadir untuk urusan rasmi atau sebaliknya.

“Kepada wanita yang sangat mementingkan ketrampilan meskipun berada di rumah, semua kaftan rekaan saya juga sesuai untuk dilaram,“ ujarnya.


Pun demikian, paling menarik perhatian penulis pastinya kriteria setiap pakaian yang telah disesuaikan dengan situasi semasa.
Anis dilihat telah mencipta kaftan bersifat vaccine friendly dengan kedua-dua lengan mempunyai zip di bahagian atas bahu hingga ke bahagian siku.

Iklan


Ini bermaksud, sekiranya anda bakal memenuhi janji temu vaksinasi, anda bukan sahaja tampil elegan, malah berasa selesa dan tidak perlu berpanas memakai pakai berlapis atau menyarung kardigan.

Bukan setakat itu sahaja, SriCandy juga memahami kehendak ibu yang memiliki anak kecil apabila menyuntik elemen nursing friendly dengan zip diletakkan di tengah hadapan baju.


Pendek kata, himpunan busana dalam segmen Freedom ini bersifat kepelbagaian, segar, ringkas, sopan, sempurna dan paling penting, ia menutup aurat si pemakai. Harganya juga mampu milik!

Menariknya lagi, setiap rekaan diterapkan dengan dua warna pilihan.

“Sesuai dengan prinsip SriCandy dan rekaan Jalur Gemilang, saya ketengahkan warna kuning, putih, merah dan biru.

Iklan


“Selain corak jalur, kami juga tidak melupakan peminat motif petak (dam), polkadot dan bunga-bungaan. Desain tersebut turut ditampilkan sekali,“ katanya.

 

INFO SRICANDY
Pengasas: Noranis Che Aziz
Alamat: SriCandy Clothing Labs,​No 31, Jalan Eco Majestic 8/1D Eco Majestic, Semenyih, Selangor
Laman web: https://sricandy.weebly.com/
Instagram: @sri.candy