Foto: IHSAN INSTAGRAM @ctdk, FACEBOOK @sitinurhalizaofficial DAN SUMBER INTERNET

CERITANYA mudah. Hadirlah puluhan artis baharu saban tahun, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap berada dalam liga tersendiri. Radar gelombang penyanyi tersohor itu dalam bidang seni sentiasa berombak, sementelah selebriti lain ada pasang dan surutnya.

Penangan anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh Pahang tersebut kekal utuh selama 25 tahun sebaik sahaja memulakan langkah di persada seni selepas dinobatkan sebagai Juara Bintang HMI 1995 siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Tambahan pula beliau tampil dengan imej sopan, berhijab dan bebas daripada gosip liar baik dalam karier mahupun peribadi.

siti nurhaliza
TAHUN ini genap 25 tahun, Siti Nurhaliza aktif dalam persada seni tanah air.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin pernah tersenarai antara 500 Muslim Paling Berpengaruh di dunia dua tahun lalu.

Terbaharu, kelunakan suara pelantun lagu Purnama Merindu tersebut kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan karya baharu berjudul 7 Nasihat.

Bayangkan pada usia 41 tahun beliau masih mampu menyanyi genre hip hop menerusi kolaboratif bersama pasangan duo, Kmy Kmo dan Luca.

Menurut Siti Nurhaliza, meniti usia 40-an bukanlah kekangan untuknya berjaya dalam apa sahaja bidang diceburi. Beliau optimis kerana menyifatkan ia tempoh matang dari segi fizikal, emosi, intelektual dan rohani.

“Jika usia 40 tahun indikasinya pada faktor kematangan melibatkan pelbagai sudut, maka saya akan berusaha untuk menjadi insan lebih baik daripada tahun sebelum ini.

“Selain itu, saya akan komited menyumbang bakti kepada keluarga, masyarakat, kerjaya dan bisnes,“ jelas beliau kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Siti Nurhaliza yang pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada tahun 2005 turut menzahirkan bahawa usia 40-an bukan perkara membebankan.

“Dari perspektif peribadi usia (41 tahun) ini memerlukan kita berdepan dengan cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar.

“Justeru, jangan berasa takut atau gusar. Adalah lebih baik kita berfikiran positif kerana sekurang-kurangnya fasa ini menjadikan kita individu dan wanita lebih matang,“ tutur beliau yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-41 pada 11 Januari lalu.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menidakkan segelintir kaum Hawa bimbang tatkala mencecah usia sedemikian.

Kegusaran paling ketara adalah apabila mula membandingkan kecantikan dan kecergasan dimiliki pada zaman muda. Namun begitu, Siti Nurhaliza memberitahu, dengan menjalani gaya hidup sihat, golongan wanita akan kekal muda dan tak dimamah usia.

siti nurhaliza
PADA usia 41 tahun, Siti Nurhaliza aktif dalam aktiviti berbasikal.

“Dalam kerjaya sebagai penyanyi, misalnya, adalah diakui tenaga saya untuk beraksi pada konsert berskala besar tidak sama seperti usia 20-an.

“Disebabkan itu, saya sanggup meningkatkan latihan vokal dan tarian termasuk mengatur inti pati show (konsert) dengan lebih terperinci,“ luah beliau.

Meluaskan empayar

Diajukan soalan, apakah segala impian yang dihajati telah dicapai sebelum melewati usia 40-an, dalam nada tenang beliau menjawab: “Alhamdullilah…bersyukur dengan rezeki ALLAH.”

Siti Nurhaliza yang pernah memenangi Voice of Asia 2002 sempat berkongsi perancangan meluaskan empayar bisnes.

“Seiring dengan pertambahan usia, saya sedang merangka untuk meneroka bisnes cabang baharu kerana enggan berada pada satu takuk sahaja.

“Saya akan terus belajar dan bereksperimentasi supaya impian terlaksana. Usaha ini memerlukan komitmen tinggi bagi mengelakkan hasil yang sia-sia,” jelas beliau yang kini mengusahakan tiga jenama bisnes.

Ia terdiri daripada produk kecantikan (SimplySiti), busana (Creacion by Siti Nurhaliza) dan syarikat rakaman, media serta hiburan iaitu Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Melakukan tiga perkara serentak antara nyanyian, bisnes dan keluarga pastinya memerlukan fokus yang tinggi. Siti Nurhaliza bersyukur kerana pihak pengurusan bijak menyusun jadual kerja berlandaskan status kehidupan daripada zaman bujang, berkahwin dan kini bergelar ibu.

“Sebagaimana, saya mengalami transisi begitu juga dengan jadual kerja. Semua tugasan perlu berjalan seiring dan seimbang memandangkan saya bukan sekadar penyanyi, bahkan isteri, ibu, anak, majikan dan duta produk.

“Apa-apa pun keluarga tetap menjadi keutamaan, apatah lagi Aafiyah (Siti Aafiyah Khalid) semakin membesar. Saya ingin sentiasa berada di sisinya supaya anak tidak berasa terabai dan kurang kasih sayang,” jelasnya yang sentiasa berusaha pulang bekerja sebelum 10.30 malam dan cuti selang sehari dalam seminggu.

siti nurhaliza
MOMEN manis Siti Nurhaliza (kiri) bercuti bersama Aafiyah (depan) dan keluarga di Gold Coast, Australia pada Januari lalu.

Anak kedua

Umum mengetahui, Siti Nurhaliza membuat kejutan muncul di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, menyanyikan lagu Anta Permana bersama Bob Yusof pada 9 Februari lalu.

Bagaimanapun, lebih mengejutkan apabila pada keesokannya, beliau memuat naik sekeping foto dalam laman sosial, Instagram Story peribadinya @ctdk yang memaparkan dirinya berada di atas katil hospital. Pada masa sama, disertakan keterangan gambar selamat menjalani pembedahan kecil.

“Pembedan kecil tersebut sebagai persediaan hamil cahaya mata kedua yang menggunakan kaedah IVF (rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim atau in-vitro). Prosedur itu sama seperti dilakukan untuk mendapatkan Aafiyah.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar. Ya, kita hanya merancang, tetapi ALLAH menentukan. Doakan yang terbaik kerana tiada salahnya untuk saya mencuba mengandung zuriat kedua.

“Tidak dinafikan, hamil pada usia lewat 40-an membuatkan saya berdepan dengan sebarang kemungkinan dan risiko. Namun begitu, keputusan ini dilaksanakan selepas mendapat lampu hijau daripada doktor,” terangnya.

Tambah isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, sebelum menjalani prosedur terbabit, doktor telah melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti kondisi badan, dalaman dan risiko berkaitan.

Secara ringkas, IVF adalah merujuk pada prosedur yang meningkatkan peluang hamil dengan bantuan teknologi yang mana telur disenyawakan bersama sperma. Ia dilakukan secara manual di dalam tabung uji makmal. Kemudian, embrio terhasil akan dimasukkan ke dalam rahim melalui tiub.

Menyorot kondisi beliau ketika mengandungkan Aafiyah, Siti Nurhaliza dalam nada teruja bersyukur kerana kesihatan tubuhnya pada ketika itu berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Iklan

“Saya tidaklah terlalu lesu dan melepek sahaja. Cuma disebabkan kehadiran Aafiyah sangat dinantikan kami sekeluarga, apatah lagi menerusi kaedah IVF, maka saya perlu menjaga kandungan sebaik-baiknya.

“Justeru, saya banyak baring untuk merehatkan diri dan berani keluar rumah selepas kandungan mencecah usia empat bulan. Itu pun masih dalam keadaan berjaga-jaga.

“Cuma pada waktu siang saya mengalami mual-mual, tetapi paling ketara tekak tidak dapat menerima makanan pedas, walhal sebelum ini saya penggemar makan pedas,” cerita Siti Nurhaliza yang turut memberitahu ‘ibu’ adalah perkataan pertama disebut Aafiyah.

Sebelum menamatkan bicara, Siti Nurhaliza menyatakan keterujaan menanti bulan Mac kerana puteri sulungnya bakal mencecah usia dua tahun.

Ujar beliau, sehingga hari ini Aafiyah menunjukkan perkembangan positif, semakin bijak bercakap dan keletah menghiburkan mereka sekeluarga.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang saya bercadang untuk menghantar Aafiyah ke prasekolah supaya dia bermain dan bergaul bersama rakan-rakan lain,” jelas Siti Nurhaliza yang mengangkat ibunya, Siti Salmah Bachik dan isteri Perdana Menteri Interim, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai inspirasi kehidupan beliau.

PROFIL

Nama: Siti Nurhaliza Tarudin

Tarikh lahir: 11 Januari 1979

Umur: 41 tahun

Iklan

Asal: Kampung Awah, Temerloh, Pahang

Suami: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa

Anak: Siti Aafiyah

Instagram: @ctdk (tujuh juta pengikut)

Adik-beradik: Anak keempat daripada tujuh beradik

Antara lagu popular: Aku Cinta Padamu, Cindai, Balqis, Percayalah, Purnama Merindu, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa

Pencapaian:

Artis pertama Asia Tenggara dan ketiga Asia mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London dengan iringan Orkestra Simfoni London pada tahun 2005

Penerima penghargaan Asian Music Legend daripada Top 10 of Asia

Anugerah Emas Asia New Singer Competition Shanghai Asia Music Festival 1999

Tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai Artis Malaysia Pertama Mengadakan Konsert Solo di Royal Albert Hall, London dan Rekod Anugerah Terbanyak Dimenangi Seorang Penghibur (Most Awards Won Artist)