SAYUR-SAYURAN sangat terkenal dengan khasiat terhadap kesihatan yang menyeluruh buat seseorang individu.

Pun demikian, kajian telah menunjukkan 95 peratus rakyat Malaysia tidak makan sayur dengan kuantiti yang cukup.

Lebih teruk, ada di antara kita yang langsung tidak memakannya.


Baru-baru ini, menerusi Facebook seorang pakar pemakanan @Syaza Nutritionist, beliau telah berkongsi mengenai cara mudah untuk makan sayur.

Tulisnya pada awal entri posting berkenaan, semua orang tahu bahawa sayur amat penting dan menyihatkan.

“Namun, bukan semua orang gemar makan sayur. Sebenarnya, tidak makan sayur antara punca berat badan berlebihan dan sukar untuk turunkannya.

“Bukan itu sahaja, ia juga akan memberi kesan kepada masalah penghadaman selain mudah dijangkiti penyakit,” beritahu beliau.

Ujarnya lagi, sayur-sayuran adalah salah satu komponen penting dalam makanan yang kita makan dan ia sama seperti karbohidarat (nasi, roti dan mi) dan protein (ikan, daging dan ayam).

“Setiap kali makan, pastikan cukup tiga komponen tersebut untuk kesihatan tubuh badan sendiri,” tambah beliau yang mengakui antara faktor sukar seseorang makan sayur adalah disebabkan didikan sejak kecil, pengaruh persekitaran dan genetik.

Justeru, ini empat kaedah mudah atasi masalah itu berkenaan:

i) Cabar diri.

Kajian menunjukkan bahawa orang ramai mungkin perlu cuba makanan baru sekerap mungkin sebelum boleh biasa dan suka akan makanan tersebut.

Jadi, sentiasa cabar diri dan kuatkan semangat.

Pada awalnya, mungkin akan timbul perasaan yang bercampur-baur, tetapi sekurang-kurangnya anda sudah berani dan mencuba.

ii) Mulakan dengan sayur pilihan

Dalam beratus-ratus jenis sayur, pastinya ada satu atau dua jenis yang menjadi kegemaran anda.

Pertamanya, mulakan dahulu dengan biasakan sayur-sayuran yang disukai.

Iklan

Kemudian, cuba konsisten memakannya setiap hari. Apabila sudah terbiasa dan kerap makan sayur tersebut, cuba pula dengan mempelbagaikan jenis-jenis lain.

iii) Cuba sayur-sayuran baharu.

Selain itu, kaedahnya adalah mencuba sayur baharu yang mungkin tidak pernah cuba.

Caranya, pergi ke pasar atau pasar raya dan cari sayur-sayuran yang kurang pahit seperti tomato ceri, lobak merah, timun, lada benggala dan lain-lain.


Cuba dahulu, jika boleh menerimanya, teruskan konsisten dengan jenis sayur seperti dicadangkan.

Iklan

iv) Terus mencuba, kuatkan semangat.

Apa-apapun, teruskan mencuba dan cari apa yang terbaik buat diri anda.

Jika perlu, carilah jalan yang dapat membantu anda makan lebih banyak sayur secara kerap.

“Saya yakin, anda akan berjaya jika tidak putus asa dan konsisten.

“Ramai yang sebelum ini tidak boleh makan sayur, sebaliknya sekarang sudah berjaya memakannya dan kemudian dapat turunkan berat badan dan lebih sihat,” beritahu beliau.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka terutamanya para pembaca yang sukar makan sayur. Jom cuba!