KEBANJIRAN produk kecantikan dan penjagaan kulit dalam pasaran memberi kelebihan kepada pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka dengan mudah.

Pergi sahaja ke farmasi, kedai atau boleh dibeli secara dalam talian membuatkan kehidupan ini lebih mudah.

Namun, menggunakan cara lama juga boleh mendapat manfaat sama seperti kaedah moden meskipun tidak diproses menggunakan mesin canggih.

Selain bahan yang mudah didapati, cara sebegini juga dipercayai telah digunakan pada masa dahulu sebelum kewujudan pelbagai produk kecantikan seperti sekarang.

Berikut SinarPlus kongsikan kepada anda bahan dan cara yang boleh diguna untuk penjagaan penampilan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki:

1. Mayonis atau avocado

Kandungan vitamin B yang kaya dalam avocado dipercayai dapat merawat bahagian kulit kepala dan melebatkan rambut.

Selain itu, penggunaan mayonis juga dapat membantu untuk menguatkan rambut, bersinar dan lebih mudah diurus.

Caranya dengan hancurkan sebiji atau mengikut kesesuaian buah avocado atau gunakan mayonis. Ingat! pilih salah satu saja ya… Kemudian campurkan dengan sebiji telur kuning, 1/4 minyak zaitun dan sedikit air.

Lumurkan pada bahagian kulit kepala ketika rambut basah kemudian tunggu sekitar 20 minit sebelum bilas dengan air bersih dan keringkan.

2. Campuran madu dan gula

Gabungan kedua-dua bahan manis ini dapat membantu anda untuk merawat kulit mengelupas dengan mudah dan selamat. Permukaan gula yang kasar juga dipercayai memudahkan proses rawatan kulit mengelupas.

Menurut seorang pakar kecantikan Amerika Syarikat, Dr Viera, gula dapat menghilangkan lapisan sel kulit mati dan membantu pertumbuhan sel kulit baharu.

Caranya dengan mencampurkan dua sudu gula perang, 1 sudu minyak zaitun dan 1 sudu madu. Gaul bahan hingga sebati dan lulur ke bahagian yang diinginkan seperti bibir, wajah dan badan. Setelah selesai dan tunggu seketika, bilas dengan air bersih.

3. Serbuk penaik pelbagai guna

Iklan

Sering digunakan dalam masakan terutama hidangan kuih-muih. Kandungan serbuk penaik yang menyerap lembapan bukan sahaja baik untuk makanan, namun turut memiliki manfaat lain.

Serbuk penaik boleh juga bertindak sebagai deodoran dan menghilangkan bau badan. Dalam pada itu, serbuk penaik juga dapat menghapuskan pertumbuhan bakteria dan membaiki kulit pada bahagian bawah lengan.

Penggunaannya juga mudah iaitu ambil 1/8 sudu teh serbuk penaik dan campurkan dengan 1/4 sudu teh air. Gaul sebati dan sapukan pada bahagian kulit.

4. Minyak zaitun baik untuk kulit dan kuku

Penggunaan minyak zaitun dalam masakan menjadi pilihan utama bagi individu yang mengamalkan diet seimbang. Minyak zaitun juga dikatakan baik untuk merawat kulit kering dan kuku.

Iklan

Caranya dengan mengambil 2 sudu minyak zaitun ke dalam sebuah bekas dan panaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro selama 30 saat. Biarkan sejuk seketika kemudian rendamkan kuku selama 15 minit. Kemudian bersihkan dan keringkan menggunakan kapas.

Minyak zaitun juga boleh digunakan pada bahagian kulit kering dengan cara meletakkan pada bahagian kulit dan biarkan seketika sebelum bilas dengan air.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda menggunakan bahan semula jadi yang turut boleh didapati di dapur untuk dijadikan sebagai spa kecantikan di rumah.

Selamat mencuba!

Sumber: Cosmopolitan