BERAT badan berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan obesiti, malah situasi itu turut bakal mengundang pelbagai penyakit kronik.

Oleh itu, melakukan aktiviti riadah atau senaman boleh mengurangkan risiko penyakit seperti serangan jantung atau diabetes.

Menurut kajian Majlis Amerika, aktiviti fizikal dapat meningkatkan kekuatan otot badan, meningkatkan kadar metabolisma, mengurangkan pertumbuhan lemak sekali gus dapat menurunkan berat badan.

Paling utama, jadikan aktiviti riadah dan amalan diet seimbang sebagai rutin harian termasuk amalan hidup sihat seperti tidak merokok, jauhi ketagihan alkohol mahupun penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, terdapat banyak senaman yang memiliki fungsi berbeza sama ada untuk menguatkan otot atau menurunkan berat badan.

Justeru, perkongsian SinarPlus kali ini lebih tertumpu kepada senaman yang dapat membantu menurunkan berat badan menurut Insider Monkey:

1. Plank

Senaman ini dapat menguatkan otot teras dan meningkatkan proses pembakaran kalori. Senaman ini melibatkan kekuatan otot di bahagian belakang badan, tangan, kaki dan perut.

Cara melakukan senaman ini kelihatan sama seperti senaman tekan tubi. Sedikit berbeza dengan plank yang memperuntukkan untuk meletakkan tangan ke lantai pada posisi 90 darjah.

Pastikan kaki berada pada keadaan lurus. Cuba bertahan dalam posisi tersebut selama 10 saat, rehat seketika kemudian ulang sebanyak dua kali.

2. Tinju bayang

Senaman tinju bayang merupakan salah satu kaedah kardio yang menghubungkan lengan dan kaki.

Keadah ini biasanya digunakan oleh peninju profesional untuk mengekalkan stamina mereka di gelanggang.

Senaman ini dipercayai dapat membakar sekitar 300 kalori dalam tempoh masa satu jam selain dapat menguatkan bahagian otot dan sendi badan.

3. Tendangan pinggul

Proses tendangan pinggul ini sama seperti melakukan senaman lari setempat. Bagaimanapun, sedikit berbeza apabila kaki perlu diangkat sehingga mengena bahagian pinggul.

Difahamkan sebanyak 240 hingga 255.5 kalori berjaya dibakar dalam tempoh masa 30 minit senaman.

4. Lompat bintang

Iklan

Senaman lompat bintang ini boleh dikategorikan sebagai ‘senaman klasik’ kerana ia telah diajar sejak kecil di sekolah.

Senaman lompat bintang ini merupakan salah satu cara untuk menurunkan berat badan dengan efektif.

Bagi mendapatkan kadar penurunan berat badan yang memuaskan, lakukan 30 kali lompatan sebanyak 10 set. Sebelum melakukan set seterusnya, ambil 30 saat untuk berehat.

5. Lompatan tali skip

Sama seperti senaman lompat bintang, aktiviti lompatan tali skip ini turut menjadi salah satu rutin ketika di usia kanak-kanak.

Bukan sahaja anak kecil, malah atlet profesional juga gemar melalukan lompatan tali skip sebagai senaman memanaskan badan.

Iklan

Senaman ini menghubungkan banyak anggota tubuh seperti bahu, kaki, tangan dan betis.

Lakukan senaman ini selama 15 minit sahaja dapat membakar sekitar 200 hingga 300 kalori.

Secara ringkasnya, terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan berat badan dengan menggunakan cara sihat seperti senaman dan amalan diet seimbang.

Sekiranya ada yang merasakan aktiviti fizikal ini sukar, cuba luangkan masa dengan berjalan kaki sekitar satu jam sehari. Amalkan selama enam bulan dan lihat hasilnya.

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram