LEBIH 20 tahun bergiat aktif di atas pentas peragaan, sudah semestinya pemilik nama Hartini Mat Jasin atau lebih dikenali dengan nama Tinie kaya dengan pengalaman.

Bergelar supermodel terkenal, pesonanya sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Justeru, hal itu menarik perhatian penulis untuk mendekatinya.

Seorang yang petah berbicara dan tidak lekang dengan lelucon mencuit hati ketika bersembang dengannya baru-baru ini, penulis bertanyakan bagaimana pendekatan beliau menjaga tubuh badan dan kemulusan kulitnya?

 

Baca juga: Tabiat minum air putih 2 liter sehari bantu Fify Azmi kekalkan kecantikan dan stamina

 

Bukan apa, tangga usianya sudah mencecah 43 tahun, namun wajah, bahkan fizikalnya dilihat masih berada pada skala sama seperti mula-mula beliau bergelar peragawati.

Ikuti temubual penulis bersama jelitawan negara yang pernah merangkul gelaran Model Sepanjang Tahun pada Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia bagi tahun 2006, 2007 dan 2009 dalam membicarakan soal penjagaan kulit, kesihatan, fesyen dan stailnya.

SINARPLUS (SP): Sebagai seorang supermodel, bagaimana Tinie menjaga diet pemakanan agar dapat mengekalkan tubuh badan yang langsing?

TINIE: Sebagai orang Asia dan berbangsa Melayu, saya memang suka makan nasi. Namun, saya akan kawal jumlah pengambilan makanan ruji itu agar tidak berlebihan. Saya juga elak mengambil makanan bergoreng dan kandungan santan yang tinggi. Saya juga seorang yang gemar makan ikan berbanding daging.

Setiap hidangan yang saya ambil dianggarkan sekitar segenggam nasi putih, ikan dan lebihkan sayur-sayuran. Kebiasaannya, saya lebih suka makan hidangan yang kering (tanpa kuah). Mungkin ada yang berasa janggal dengan perkara itu, tetapi lebih 20 tahun saya terbiasa dengan pendekatan sebegitu. Alah bisa, tegal biasa.

SP: Boleh kongsikan jenis senaman atau sebarang aktiviti olahraga yang Tinie kerap lakukan?

AMALAN minum jus nanas antara langkah penjagaan kesihatan yang sering dilakukan oleh Tinie.

TINIE: Kebiasaannya, saya akan luangkan masa sekitar sekali atau dua kali melakukan senaman di gimnasium. Kadangkala saya akan berlari di kawasan rumah.

Pada usia yang sudah mencecah 40 tahun, saya lebih menjaga kesihatan seperti mengambil vitamin dan melakukan aktiviti mengeluarkan peluh.

Di samping itu, saya kini banyak menghabiskan masa di ladang nanas dan menguruskan perniagaan jualan jus nanas, Ardo Ananas sendiri. Saya memang telah lama mengamalkan minum air jus nanas jenis MD2. Awalnya sekadar suka-suka untuk diri sendiri, tetapi kini sudah dijadikan sebagai salah satu cabang perniagaan.

SP: Apakah hidangan yang Tinie ambil sebelum beraksi di atas pentas?

TINIE: Selalunya sebelum pertunjukan fesyen saya tidak makan. Saya bimbang jika makan berlebihan boleh menyebabkan rasa mual.

Saya juga tidak terlalu tegas atau cerewet dalam pengambilan makanan kerana saya makan apa sahaja (ketawa). Namun, dalam jumlah yang sedikit atau cukup sekadar untuk merasa.

Iklan

Saya juga seorang yang gemar minum kopi dan boleh dikatakan sebagai satu kewajipan pada setiap hari.

Seperkara, saya kerap minum air putih dan minum jus buah seperti nanas dan lobak merah. Namun, saya akan makan dalam jumlah yang sedikit sekitar empat hingga enam kali sehari sahaja.

SP: Bagaimana pula Tinie menjaga kesihatan kulit wajah agar tidak mudah breakout?

TINIE (dua dari kanan) bersama barisan supermodel popular tanah air sewaktu menjayakan Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun lalu.

TINIE: Kulit muka saya agak sensitif jika pakai krim pelindung matahari atau pelembap kulit secara berlebihan. Jadi, saya hanya memakai toner dan sedikit pelembap (kulit) sebelum mengenakan solekan.

Saya pernah mengalami masalah kulit breakout sehingga perlu mendapatkan rawatan di klinik. Setelah diperiksa, masalah itu berlaku disebabkan gangguan hormon, kurang tidur, kurang rehat dan kurang minum air. Jadi rawatannya, saya perlu jaga makan, cukup rehat dan perbanyakkan minum air putih serta jus segar.

Iklan

SP: Segelintir wanita akan berasa kurang yakin dengan tubuh badan mereka jika dibandingkan dengan anda. Apakah reaksi Tinie mengenai hal itu?

TINIE: Pada saya, bukan model sahaja perlu atau layak menjaga penampilan, sesiapa pun boleh melakukannya. Paling utama, perlu ada keyakinan dengan diri sendiri. Beri tumpuan pada penjagaan kesihatan terutama pemakanan kerana kecantikan luaran bermula dari dalam.

SP: Apakah stail atau gaya Tinie di luar pentas peragaan?

TINIE: Selalunya saya hanya memilih seluar jeans, baju-T dan kaca mata hitam. Pemilihan gaya harian itu lebih santai, kurang solekan dan hanya mengoles pelembap bibir. Pilihan warna yang saya gemar pula ialah hitam.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram