3 bahan ini mampu rawat kulit wajah, bukan sekadar bumbu dapur

halia kunyit
October 12, 2020
Oleh Izyan Liyana

BERCAKAP mengenai bumbu dapur sebahagian besar daripada kita mesti pernah mengalami momen melucukan, apatah lagi apabila ia melibatkan lengkuas, halia dan kunyit.

Ibu minta membeli halia, tetapi yang dibawa pulang dari pasar ialah lengkuas.


Masakan tidak, situasi tersebut berlaku berikutan ketiga-tiga itu memiliki rupa dan tekstur yang hampir sama.

Pun begitu, ia berbeza ‘sekali pandang’ sahaja kerana antara lengkuas, halia dan kunyit mempunyai tekstur dan warna tersendiri.

Bahkan, selain menyedapkan masakan bumbu dapur tersebut juga memberi manfaat pada kecantikan dan kesihatan.

Iklan

Tak percaya? Jom ikuti perkongsian segmen Sihat Cantik hari ini.

a) Halia
Halia atau nama botani Zingiber Roscoe adalah sejenis tumbuhan yang selalu digunakan sebagai rempah dalam masakan. Ia ditanam secara meluas di negara India, China, Thailand, Nigeria, Australia termasuklah Malaysia.

Iklan

Selain dikatakan melawan rasa loya, halia yang memiliki rasa pedas turut membantu mengurangkan radang,mengawal kolesterol, membuang angin dan melegakan kesakitan haid.

Tekstur: Kulit berwarna coklat kekuningan manakala permukaannya sedikit kasar. Isinya pula lembut dan berserabut.

halia

Manfaat: Sesudu parutan halia yang dicampur bersama 500ml jus halia dan segelas garam kasar dikatakan membantu menghalang selulit.

Caranya, sapu lulur halia pada bahagian berselulit dan gosok lembut.

b) Lengkuas
Lengkuas yang lazimnya digunakan dalam masakan tempatan dan negara jiran, Indonesia merupakan salah satu tumbuhan keluarga halia.

Tekstur : Permukaan lengkuas berwarna krim kemerahan, licin dan mempunyai rerambut pada bahagian ruas manakala isinya lebih keras dan pedas berbanding halia.

lengkuas

Manfaat: Lengkuas berfungsi membunuh pertumbuhan bakteria yang menyebabkan berlakunya jerawat.

Selain itu, ia juga bertindak melembapkan kulit wajah yang sensitif, kering dan kasar.

c) Kunyit
Kunyit atau Curcuma Longa bukan sahaja berfungsi sebagai pewarna asli dalam masakan bahkan, penambah rasa makanan dan membantu mencantikkan kulit.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati ketika mengupas kunyit kerana warna akan melekat pada tangan dan sukar untuk dihilang dalam kadar segera.

kunyit

Tekstur : Permukaannya kasar dan berwarna coklat manakala isinya pula berwarna kuning pekat.

Manfaat: Kandungan curcumin di dalamnya memiliki sifat antioksida. Ia bertindak membantu menanggalkan kotoran dan sel-sel mati baik pada kulit badan mahupun kulit wajah.

 

Foto: Freepik, Medisculpt dan Anveya Living.com

Iklan