KUMPULAN Eva dan Indigo diumumkan tersingkir pada persaingan konsert minggu keempat Gegar Vaganza 7 (GV7) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Eva menyampaikan lagi Kini nyanyian asal daripada kumpulan Feminin mendapat markah paling rendah dengan hanya 55.0 peratus (%).

Manakala Indigo yang beberapa kali berada di tangga terbawah pada konsert sebelum ini, memperoleh markah sebanyak 55.2% menerusi lagu Hidup Dalam Mati nyanyian asal daripada Syamel.

Sementara itu Muss sekali lagi menarik perhatian ramai apabila berjaya memberikan persembahan cukup menarik menerusi lagu Dan Sebenarnya, sekali gus berjaya memikat juri dengan markah paling tinggi sebanyak 74.6%.

Pada minggu yang mengangkat tema Lagu Lagu Berhantu itu, turut menyaksikan Rozita Izlyn diumumkan sebagai penerima Anugerah Next Level Digi, manakala Anugerah Cuckoo Healthy Home pula menjadi milik Aju Success.

Peserta lain yang turut meneruskan persaingan pada konsert minggu depan ialah Linda Nanuwil, Noraniza Idris, Yantzen, Ayu Damit, Cliff Umar, Oja, Ashira dan Nomad.

Kesemua peserta yang bertanding diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juru profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim selaku juri tetap, manakala Jennifer Thompson sebagai juri jemputan.

Iklan

Biarpun diadakan tanpa kehadiran penonton sebagai langkah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, konsert GV7 minggu keempat tetap berlangsung meriah.

GV7 yang dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (124) dan Ria HD (104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 11 Oktober lalu.

Iklan

Kedudukan peserta pada konsert minggu keempat

  1. Muss – Dan Sebenarnya (74.60%)
  2. Linda Nanuwil – Kemarin (74.40%)
  3. Noraniza Idris – Saat Ku Idamkan (72.00%)
  4. Yantzen – Malam Ini Kita Punya (68.60%)
  5. Ayu Damit – Jahat (68.00%)
  6. Cliff Umar – Dialah Di Hati (63.00%)
  7. Oja – Kebahagiaan Dalam Perpisahan (62.60%)
  8. Aju Success – Pusara Di Lebuhraya (60.60%)
  9. Rozita Izlyn – Ku Seru (59.60%)
  10. Ashira – Cinta Beralih Arah (56.40%)
  11. Nomad – Rahasia Perempuan (56.20%)
  12. Indigo – Hidup Dalam Mati (55.20%)
  13. Eva – Kini (55.0%)

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)