PELAKON Keith Foo mengakui hatinya sebak saat terbabit dalam misi kemanusiaan dan amal di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Berpeluang menghulurkan bantuan bersama St John Ambulans Malaysia cawangan Negeri Sembilan (SJAMNS), pelakon drama Ariana Rose itu berkesempatan menghulurkan bantuan kecemasan dan kebajikan kepada sebahagian mangsa banjir yang melanda di sana.

Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin berkata, itu bukan misi pertama dijayakannya, sebalikinya sudah beberapa kali terlibat dengan aktiviti yang sama.

“Sudah banyak kali saya turut serta dalam misi seumpama ini. Cuma sejak menyertai SJAMNS awal tahun lalu pembabitan saya lebih kerap tertumpu di negeri berkenaan.

“Antaranya dalam program derma darah, kesedaran  Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR), perkhidmatan ambulans sempena hari perayaan, pengedaran peralatan perlindungan diri (PPE) ke hospital dan klinik.

“Terbaru saya menyertai misi menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga 55 ahli keluarga yang terjejas teruk akibat banjir melanda di Seremban,” katanya.

Dalam pada itu, bapa tunggal kepada seorang cahaya mata perempuan itu mengakui tersentuh apabila ada golongan tua yang terlantar dan uzur, selain keluarga serta individu yang terjejas teruk akibat ujian itu.

“Bayangkan saat berdepan dengan pandemik, kemudian tanpa diduga air bah yang datang menguji lagi keteguhan hati mereka.

“Harta benda, kereta dan pelbagai lagi rosak teruk dek banjir hingga sukar untuk diperbaiki.

“Saya dimaklumkan banjir baru-baru ini berlaku pada waktu malam dan mencecah ketinggian dua meter.

“Ada antara mereka yang tidak sedar air naik sampai paras katil, malah ada yang terperangkap hingga perlu diselamatkan,” katanya.

Iklan

Kata Keith, yang juga duta produk suplemen kesihatan Crystal C White, dia bersyukur jenama produk yang melantiknya sebagai duta itu banyak menyumbangkan derma  sekali gus menyokong kerja amal ini.

“Saya bersyukur orang kuat produk itu, Leinaa dan Reena tak berkira dalam soal menderma. Sumbangan ikhlas mereka amat saya hargai.

“Tak lupa SJAMNS yang membuka ruang saya berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Keith turut memaklumkan yang dia juga berpeluang memandu ambulan saat menjayakan misi berkenaan.

Iklan

“Sudah beberapa kali juga saya memandu ambulan. Malah saya juga pernah menghadiri kursus untuk membawa kenderaan itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Keith baru saja selesai menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama termasuk Dia Bukan Bidadari dan WiFi Sebelah Rumah.

Selain itu, Keith juga turut membintangi drama KL Gangster Underworld musim kedua yang akan bersiaran di platform WeTV bermula 10 Disember ini.